Sunday, December 13, 2009

Diari Haji Zaki

Allhamdulilah, bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi tetamu Allah pada tahun ini (1430H). saya menulis serba sedikit tentang perjalanan saya ketika menunaikan haji diatas permintaan beberapa pihak terutamanya Abg Raja Azlan Shah beserta isteri. Moga-moga penulisan ini memberikan gambaran rangkas kepada sahabat2 berkaitan cara melaksanakan manasik haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Norfazareez b. Mohd Fauzi kerana memberi ruang kepada saya untuk menulis di blog beliau.



Di Makkah


Setelah melalui perjalanan yang meletihkan, kira-kira 30 jam perjalanan. Bermula dari airport Alor Setar ke KLIA, dari KLIA transit di Hong Kong, dari Hong kong ke Dubai, dari Dubai ke Jeddah, dari Jeddah naik bas pergi ke Makkah. Barulah sampai ke destinasi yang mana semua umat Islam berkumpul untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT iaitu menunaikan ibadat haji. Buat pertama kalinya saya sampai di Masjidil Haram, tempat yang mana saya yakin setiap individu yang beragama Islam pasti merinduinya.


Setelah sampai di Makkah, dalam keletihan, saya terus menunaikan umrah terlebih dahulu kerana saya memilih untuk melaksanakan haji Tamatu’. Adapun haji Tamatu’ ini diwajibkan dam. Ada tiga cara untuk melaksanakan haji, iaitu Ifrad, Qiran, dan tamatu’(untuk maklumat lanjut, boleh la rujuk kepada ustat2 yang bertauliah). Sementara menunggu hari bermulanya ibadah Haji, saya luangkan masa untuk beriktikaf di Masjidil Haram kerana bukan selalu dapat peluang sebegini rupa. Jarak dari hotel saya ke Masjidil Haram kira-kira 1km. So, kalau nak pergi solat berjemaah, kena keluar sejam lebih awal dari waktu solat. Perasaan ketika melihat Baitullah amat sukar digambarkan dengan kata-kata, pada saat itu, wang ringgit, perniagaan di dunia, dan segala kepentingan dunia luput dari minda. Cuma redha dan kempunan dari Allah yang diharapkan.



8 Zulhijjah 1430


Hari ini bermulanya perjalanan haji dan hari ini juga dikenali sebagai Hari Tarwiyah. Sebelum berihram, disunatkan mandi, memakai wangi-wangian di badan, merapikan rambut serta janggut. Selepas itu, berniat ihram ketika hendak keluar hotel. Saya keluar kira-kira pukul 3.00 pagi (waktu Saudi) menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat sunat ihram dan solat Subuh secara berjemaah. Selepas subuh (masuk waktu dhuha), saya menaiki sebuah van menuju ke Mina, malangnya, van tidak dibenarkan musuk ke kawasan Mina, terpaksalah berjalan kaki melalui terowong yang menghubungkan Makkah dan Mina kira-kira 2KM. Tiba di Mina pada pukul 11 pagi. Maha Suci Allah, hujan turun dengan lebat di Mina.


Apabila tiba di Mina, disuruh supaya menunaikan solat Zohor, Asar dan Isyak secara qasar tanpa jama’ dan bermalam di Mina. Ketika zaman Rasulallah SAW, tempat baginda bermalam ialah di Masjid Khif dan di masjid tersebut juga lah baginda dan para sahabat yang lain menunaikan solat lima waktu secara qasar tanpa jama’.



9 Zulhijjah 1430


Setelah selesai menunaikan solat Subuh di Mina, bersiap sedia untuk berangkat ke Arafah, untuk mendapatkan transport, kena berjalan kaki memasuki terowong yang menghubungkan Mina dan Aziziyah pula. Di Aziziyah, baru ada transport, bermacam-macam jenis, ada teksi, bas, prebet sapu, yang naik motosikal pun ada. Jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 14KM. Alhamdulillah, sampai juga saya di padang Arafah kira-kira pukul 1.00 tgh hari. Kepada para Jemaah, berwukuf di Arafah adalah kemuncak ibadat haji. Waktu berwukuf ialah sewaktu tergelincir matahari (selepas Zohor) hingga terbenam matahari (waktu Magrib).


Ketika di Arafah, gunakanlah sepenuh masa yang ada memohon ampun kepada Allah kerana pada waktu tersebut Allah akan memperkenankan doa dari hamba-hambaNya dan kepada yang tidak mengerjakan haji, disunatkan berpuasa pada hari terbut.



Apabila terbenam matahari, bersiap sedia menuju ke Muzdalifah untuk bermalam di sana. Kali ini bukan naik van tapi naik atas bumbung van, punya la gayat, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Selama 4 jam ’beritikaf’ kat atas bumbung van disebabkan terlalu ramai para jemaah yang hendak ke Muzdalifah. Setibanya disana, solat Magrib dan Isyak secara jama’ takhir. Perjalanan hari ini memang meletihkan, setelah selesai solat, saya terus tidur beralaskan tikar berbumbungkan langit hingga ke Subuh. Batu-batu kecil sebanyak tujuh biji boleh la di kutip di sini (tidak semestinya di Muzdalifah) untuk melontar jamrah Aqabah pada keesokannya.



10 Zulhijjah 1430


Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Walillahilhamd..Selamat hari Raya Eidul Adha kepada keluarga dan sahabat2 di Malaysia. Kami para jemaah haji disini menyambut hari ini sebagai Hari Nahar. Pada hari ini, jemaah haji perlu menyelesaikan beberapa perkara iaitu melontar jamrah Aqabah (jamrah yang paling dekat sekali dengan Makkah), melaksanakan Qurban, bercukur atau bergunting, dan Tawaf Ifadhah (adapun Tawaf Ifadhah dan Sa’i kalau tidak sempat mengerjakan pada hari ke-10, boleh dilewati pada hari-hari tasyrik, dan jika tidak berkesempatan juga boleh dilaksanakan selepas daripada itu dengan syarat tidak keluar dari Makkah)


Oleh kerana kesuntukkan masa kerana kesesakkan jalanraya yang teruk ketika perjalanan dari Muzdalifah ke Mina, saya hanya sempat melontar jamrah Aqabah dan bergunting. Bererti saya sudah melakukan Tahalul Awal (bererti sudah bebas dari pantang larang kecil seperti memotong kuku, memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala dan sebagainya kecuali hal2 yang berkaitan dengan perkahwinan). Pada hari ini, saya bermalam di Mina (maknanya bermulalah hari Tasyrik dan bermalam selama 3 malam).



11 Zulhijjah 1430


Selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Mina, saya terus menuju ke Makkah untuk melakukan Tawaf Ifadhah dan Sa’i. Kali ini sudah serik menaiki kenderaan kerana banyak masa terbuang begitu saja, saya memilih untuk berjalan kaki dari Mina menuju ke Makkah (kira-kira 6km dan mengambil masa 2jam). Setelah tiba di Masjidil Haram, setelah menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, barulah memulakan Tawaf. Tempat bermulanya Tawaf ialah di Hajr Aswad dan mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali pusingan. Adapun mengerjakan Tawaf, setiap jemaah perlulah bersuci dari hadas kecil dan besar (selalunya masalah ini terjadi kepada wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas, maka mereka boleh men

gerjakan Tawaf tersebut pada bila-bila masa setelah mereka bersuci dari hadas besar). Setelah selesai mengerjakan Tawaf, di sunatkan solat dua rakaat dan meminum air zam zam. Kemudian, barulah mengerjakan Sa’i, bermula di Safa dan berakhir di Marwah. Alhamdulillah, sudah selesai mengerjakan Tawaf dan Sa’i bererti sudah selesai rukun-rukun haji, kira-kira pukul 11.30 pagi. Hanya yang tinggal bermalam di Mina dan melontar jamrah pada hari Tasyrik yang merupakan wajib haji.


Setelah selesai, saya keluar dari Masjidil Haram dan ingin mendapatkan beg galas yang saya letakkan di luar Masjidil Haram (segala beg tidak dibenarkan masuk dalam Masjidil Haram). Malangnya, beg tersebut sudah hilang. Memang sudah dijangkakan sebegitu rupa, saya terlebih awal mengeluarkan wang dari beg tersebut. Kemudian, saya terus pulang ke hotel untuk berehat dan membiarkan beg itu bersemadi di situ. Selepas melelapkan mata selama dua jam, pada tepat pukul 2.30 petang, saya berangkat ke Mina semula untuk melontar tiga jamrah (jamrah Ula, jamarah Wusta dan jamrah Aqabah). Sekali lagi saya pergi ke Mina dengan berjalan kaki sejauh 6km. Alhamdulillah saya sampai di Mina dan melontar tiga jamrah sebelum terbenam matahari. Apa yang akan terjadi jika kita sampai setelah matahari terbenam? Alamatnya kena dam, kerana tidak dikira sebagai bermalam di Mina. Bermalam lah saya di Mina pada hari tasyrik..zzzzz (walaupun tidur sekadar dikaki lima sahaja, tapi Allah memberikan keselesaan seolah-olah tidur di dalam istana, syukur pada Allah yang memberikan nikmat kepada hambaNya)



12 Zulhijjah 1430


Hari ini sama juga seperti hari semalam, melontar tiga jamrah dan bermalam di Mina. Pada siangnya, saya pergi melawati jemaah Malaysia di Muasim (kira-kira 3km dan mengambil masa 1jam perjalanan dengan berjalan kaki). Ramai jemaah Malaysia bersiap sedia untuk meninggalkan Mina (dikenali sebagai Nafar Awal dengan sebab ada urusan lain di Makkah. Kepada siapa yang ingin melakukan Nafar Awal, perlu meninggalkan Mina sebelum terbenamnya matahari, kalau tidak dia diwajibkan bermalam di Mina juga). Kepada siapa yang tidak ada urusan di Makkah, bermalam di Mina lebih afdal. Pada hari-hari Mina, perbanyakkanlah bacaan Quran dan zikir kepada Allah SWT.



13 Zulhijjah 1430


Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Mina. Saya menunggu sehingga selepas solat Zohor, baru lah saya melontar tiga jamrah (waktu melontar jamrah pada hari tasyrik ialah setelah tergelincir matahari). Setelah melontar, barulah pulang ke Makkah dengan berjalan kaki juga. Ketika dalam perjalan, singgah di kedai makan, pekena Kabsah dulu dengan ayam Masywi, makan dalam talam plak tu (hehe, kepada sahabat2, saya dah jemu makan Kabsah dan Shawarma sebab hari2 dok makan benda tu ja).


Jadi, inilah perjalanan atau kronologi ketika melaksanakan manasik haji. Saya menulis diari ini khas untuk memberikan bayangan ringkas kepada sahabat2 sekalian. Insyaallah, antum sekalian akan mendapat jemputan dari Allah pada usia yang muda ini. Dan kepada pembaca artikel ini, jika terdapat sebarang kesilapan berkaitan dengan hukum-hakam manasik haji, harap dibetulkan. Wallahua’lam.



Sisa-sisa hari di tanah haram.


Masih berbaki tiga hari sahaja lagi di Makkah. Pada masa yang ada, saya melazimi solat fardhu di Masjidil Haram secara berjemaah. Gemersik suara imam al Juwaini tidak dapat dilupakan, masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Selepas itu, saya pergi ke rumah haji Ahmad (rakyat Malaysia yang menetap di Makkah sejak usianya 19 tahun) yang terletak berdekatan dengan tanah perkuburan Ma’la (tanah perkuburan untuk para jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan haji). Dapat juga makan daging korban, bukan senang nak cari rendang kibas kat Makkah ni, punyala sedap tak terkata sheh.



Sempat juga saya melawati Amirul Haj Thailand, Dr Ismail Lutfi. Niat di hati hendak menziarahi Dr Zul di Janadriah, tetapi masa tidak mengizinkan kerana ingin berangkat ke Madinah Al Munawarah. Sebelum meninggalkan Baitullah, perlulah Tawaf Wada’.



Menziarahi Rasulallah SAW


Alhamdulilah, Walaupun hanya dua hari berada di Madinah, sudah cukup untuk mengubat rindu kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Meskipun menghadapi perjalanan yang amat sukar sekali ketika hendak ke Madinah, check point demi check point, mengambil masa kira-kira 12 jam untuk menyelesaikan segala dokumen (musim haji memang begini kerana setiap jemaah haji yang memegang visa haji, semuanya berada di bawah kawalan Kementerian Haji Arab Saudi termasuk Tabung Haji).



Perkara pertama sekali, saya memasuki masjid Nabawi dan solat sunat Tahiyatul masjid di dalamnya. Kemudian, saya bergegas ke Raudhah (tapak masjid Nabawi yang asal). Dapat juga saya solat fardhu zohor secara berjemaah di situ. Pada masa itu, terasa seolah-oleh Rasullallah SAW dan para sahabat menunaikan solat bersama kita.


Sebelah kiri Raudhah yang berada di belakang sedikit, itu lah rumah Saidina Ali RA dan di situlah baginda Rasullallah SAW bermain dengan cucu baginda Saidina Hassan dan Hussein. Setelah selesai solat Zohor, dengan perlahan-lahan yang pergi ke sebelah kiri di hadapan masjid, di situlah rumah baginda Rasullallah SAW dan di situ juga terletaknya makam Rasulallah SAW, rasul yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam keseluruh pelusuk dunia, seorang Kekasih Allah SWT dan di situlah bersemadinya sebaik-baik manusia. Maka, lafazlah Assalmualika Ya Rasullah. Kemudian, di sebelah baginda, bersemadinya Saidina Abu Bakar As Siddiq RA, seorang sahabat baginda yang paling akrab, seorang teman kepada Rasulallah SAW ketika bersembunyi di Gua Thur. Maka, berilah salam kepada beliau. Kemudian, di sebelah makam Saidina Abu Bakar RA, terletaknya makam Saidina Umar Al-Khatab RA. Saidina Umar merupakan seorang sahabat yang sangat tegas pada zaman pemerintahannya dan disebabkan itu, Islam berkembang luas hampir keseluruhan dunia termasuk membebaskan tempat suci umat Islam ketiga iaitu Masjid Aqsa.


Akhir Kata

Konklusinya, saya harapkan saya akan dijemput oleh Allah SWT pada lain kali, begitu juga kepada sahabat2, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya memberi peluang dan ruang untuk menjadi tetamu Alah SWT. Mungkin perjalanan saya agak berbeza dengan para jemaah haji Malaysia yang lain, kepada siapa yang pergi melalui Tabung Haji atau pakej yang bernaung di bawah Tabung Haji, mungkin tidak serumit seperti ini. Jika melalui Tabung Haji, segala kemudahan makanan, pengangkutan, tempat tinggal (khemah atau maktab) disediakan. Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada ayah saya Hj Rosdi b. Hj Shariff kerana memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan manasik haji meskipun berada dalam serba kekurangan. Saya kira inilah hadiah yang paling istimewa yang pernah saya dapat sempena menyambut ulang tahun saya yang ke 20.


p/s: catatan diatas merupakan coretan ringkas dari Haji Zaki.

Wednesday, December 09, 2009

Jeans vs Slack : Simbolik negatif dan positif ..?



Melangkah masuk ke pintu gerbang Maktab Mahmud, Alor Star mengigatkan aku pada 'pantang larang' maahad. Langkah diatur, bahasa disusun, pakaian dijaga, agar ia tidak menyinggung 'pantang larang' si 'penunggu' setia.

Meskipun pak guard sentiasa bersiap siaga di bilik kebalnya, ia tidak perlu mengingatkan hal ini kepada putera puteri maahadi apatah lagi kepada yang sudah menjadi 'bekas'. Ya, ia memang tradisi yang diwarisi! Bertudung litup bagi puterinya di bawah paras dada, berkopiah bersongkok, berserban bagi puteranya. Usah bersandiwara jika di dahi sudah terukir pelajar Maktab Mahmud.

Cerita dulu-dulu, kalau sesiapa yang tidak memakai kopiah, tak thiqah namanya. Tambahan pula seluar jeans dikenakannya, alamatnya cop fasiq yang kena. Itu cerita dulu, "kalau nak diikutkan dulu, tok aku pun anak dara" frasa dari seorang sahabat. Geli hati mendengarnya.

Hari ini aku terfikir, apakah yang wujud ketika aku berada di maahad suatu ketika dahulu hanya cuma satu tradisi turun temurun..? Apakah ini merupakan simbolik kepada jeans bahawa ia sesuatu yang negatif. Perlu dibuang jauh..Pernah aku cuba menimbulkan isu ni di dalam post-post terawal aku, tetapi versi yang sedikit berbeza.

Hal ini kembali segar setelah perbincangan ilmiah berlaku antara sahabat di ruang maya Facebook. Bukan mencari siapa yang benar siapa yang salah. Bukan juga ingin mempertahankan adat dan tradisi. Jika benar katakan benar, jika salah katakan salah. Apa pendapat anda..?


p/s: satu koleksi jeans terbaru berada di dlm almari hasil pemberian zaki, setelah hampir 8 tahun almariku tidak tersimpan jeans..

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP