Thursday, February 19, 2009

Sekolah vs. Universiti

Sambil aku menghirup kesegaran air cond di perpustakaan, maka timbullah satu topik yang sering bermain-main di benakku untuk diperbualkan antara aku dan sahabat karibku, Amir Sufi. Memang kami selalu berkongsi cerita suka dan duka walaupun kami bagai angsa dan itik. Seorang dari Kelantan, seorang lagi dari Kedah. Perbezaan loghat yang cukup ketara, tapi ia bukanlah penghalang bagi kami untuk membina ukhuwwah fillah. Terkenang kali pertama aku bertemu beliau, sehari suntuk aku menjadi bingung, apa tidaknya, masing-masing tidak faham apa yang diperbualkan gara-gara loghat yang pekat. Kadang-kadang aku sedar bahawa komunikasi cukup penting dalam setiap perkara hatta 'komunikasi' kita dengan Allah Taala tatkala menghamba diri padaNya, adakah kita cukup memahami dan mengerti apa yang kita tuturkan?

Mengimbau kembali zaman persekolahan ataupun ketika bergelar pelajar sekolah suatu ketika dahulu merupakan suatu kenangan terindah dalam hidup. Apatah lagi jikalau berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah agama. Berbagai ragam dapat dilihat. Ada yang macam malaikat, tak kurang pula macam jin ifrit. Bagi aku Alhamdulillah, aku berpeluang melangkah masuk ke bumi barakah Maktab Mahmud, Alor Star. Di situlah aku menimba ilmu duniawi dan ukhrawi, belajar mengenal apa itu Islam, dibajai pula dengan Tarbiyyah dan biah solehah. Tapi sejujurnya aku mengaku tak kurang juga kadang-kadang tergelincir dek gara-gara terlau mengikut nafsu dan rakan-rakan. Benarlah kata Baginda SAW, jikalau nak melihat perangai seseorang itu, lihatlah pada rakannya. Disulami kenangan indah dan pahit selama hampir 5 tahun setengah, itulah yang membuatkan aku tidak putus-putus untuk menziarahi Maahad Mahmud setiap kali aku berkelapangan kerana wujudnya keterikatan hati antara maahad dan diriku. Adik-adik di maahad merupakan legasi yang perlu dibimbing sepertimana kami dibimbing oleh abang-abang terdahulu. Ia adalah amanah di atas pundakku.
Jika nak diceritakan kembali kenangan pahit jerih kehidupan alam persekolahan nescaya tidak cukup untuk diceritakan. Ayuh kita kembali kepada topik asal yang berbunyi sekolah vs U. Rata-rata sahabat-sahabatku dan diriku sendiri mengakui bahawa kehidupan di alam universiti cukup berbeza dengan alam persekolahan. Pertama, sudah semestinya perbezaan dari sudut cara pembelajaran. Di universiti kita diajar untuk lebih banyak berfikir dan mengeluarkan pendapat sendiri berbanding menerima bulat-bulat ketika di sekolah. Tapi tidak dinafikan juga hatta di universiti kita masih lagi disuap oleh pensyarah. Seoarang mahasiswa perlulah independence, berfikiran matang, think out the box, ada soft skill... dll. Itulah ayat yang acap kali didengari.




Kita letakkan persoalan pelajaran di tepi dahulu. Apa yang ingin ditimbulkan di sini adalah keadaan diri kita di universiti dan ketika di sekolah dahulu. Adakah ia berbeza mengikut tempat? Jikalau dahulu kita berlebai bersongkok 24 jam bagi yang lelakinya. Ditambah pula serban berkilo-kilo dijunjungnya selama 5 tahun ketika di alam persekolahan. Kalau keluar pekan tak pakai lebai tak siqhoh namanya. Baju mesti lengan panjang. Tak kurang juga lagak sang puteri yang tudungnya boleh 'menyapu' jalan raya. Jalan tunduk rapat ke tanah. Cukup sopan santun. Jauh sekali kalau nak bersembang dengan lelaki. Apabila masuk sahaja u, bagaikan Cinderella kehilangan kuasa hikmatnya. Segalanya bertukar sekelip mata. Kepala yang dahulunya dililiti serban sudah pandai menggayakan rambut, lebai songkok disimpan terus dalam kotak. Tudung yang dahulunya labuh hingga mencecah lantai sudah dibahagi dua. Save budget katanya. Mana perginya semua itu dahulu, adakah ia hanya hipokrit semata-mata?


Persolan yang ditmbulkan di atas adalah berdasarkan pengalaman peribadiku sendiri hasil amatanku selama ini. Walaupun kadang-kadang terasa janggal untuk aku membincangkan topik ini melihatkan kedaan diriku yang tak seberapa. Tetapi anggaplah ini peringatan buat diriku dan para pembaca semuanya. Aku pernah menyuarakan persolan ini kepada beberapa orang rakan dan abang-abang samada lepasan maahad atupun tidak. Bagi soalan lebai songkok dan sebagainya, rata-rata menjawab di sekolah merupakan berlakunya permulaan proses tarbiyyah. Di situ perlu ada ketegasan dalam melaksanakan sesuatu biarpun ia sedikit syadid. Biarlah hipokrit pada awalnya demi untuk mendidik hati dan jiwa agar ia berkekalan selepasnya. Perkara ini boleh dilihat ketikamana Islam menyuruh anak yang berumur 10 tahun dirotan untuk mengajar jikalau dia tidak solat. Apabila ia sudah baligh, itu terpulang padanya hasil dari ajaran dan rotan mungkin sudah tidak berkesan di saat itu.
Berbalik pada topik tadi, apabila kita sudah melangakah masuk ke universiti, terpulanglah kepada kita untuk tampil sebagaimana dengan melihat kembali hasil tarbiyyah dahulu, tetapi perlu diingat, jangan sampai melanggar hukum syarak seperti memakai seluar pendek, diwarnakan rambut dan bagi perempuan pula tudung yang terlalu singkat, baju yang ketat dan jarang dan sebagainya. Persoalan tidak memakai lebai tidaklah melanggar hukum syarak tetapi alangkah ruginya sesiapa yang pernah memakainya suatu ketika dahulu tetapi membuangnya ibarat membuang barang yang baik. Sebenarnya penampilan yang cuba ditonjolkan ketika di sekolah mampu mengekang kita dari melakukan maksiat yang terang-terangan dan perkara lagho. Adakah Pak Lebai nak jeling perempuan lama-lama? Adakah ustazah bertudung labuh nak ketawa terbahak-bahak? Renung-renung dan fikir-fikirkan.


Secara peribadi, aku bersetuju dengan pendapat di atas. Cuma persoalannya, adakah selama ini kita hanya hipokrit semata-mata? Atau kerana takutkan undang-undang? Atau kita mengikut keadaan suasana sesuatu tempat? Kata seorang sahabatku, jadilah diri kita sendiri. Ermm.. mana satu yang betul ni? Masing-masing punya pendapat tersendiri. Bagi aku jadilah diri kita sendiri bertunjangkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Apa-apa pun aku tinggalkan persoalan ini untuk kita bincang dan renung bersama.

Tahniah FSU!!


Salam perdebatan,
Ku mulakan kalam ini dengan memanjatkan rasa syukur yang tak terhingga kepada Rabbul Jalil Tuhan sekalian alam. Mungkin tidak terlambat lagi untuk mengucapkan sekalung lafaz tahniah buat FSU kerana telah berjaya 'merampas' kembali Piala NC dari tangan Tamhidi setelah memperlihatkan kehebatan masing-masing berentap untuk mencapai kemenangan bagi memartabatkan nama FSU.

Tidak lupa juga buat Pasukan Debat Bahasa Melayu dan Arab yang berjaya merangkul gelaran juara sekaligus melayakkan FSU untuk duduk di takhta tertinggi, walaupun terpaksa berdepan dengan pencabar yang cukup sengit. Seterusnya buat pendebat kategori Bahasa Inggeris, sekalung tahniah juga diucapkan kerana berani menyahut cabaran, mungkin rezeki belum ada.

Marilah kita sama memperbetulkan kembali niat kita agar pekerjaan dan amal yang kita lakukan tidak sia-sia di sisi Allah Taala. Bukanlah niat kita mengidam-idamkan kemenangan ini untuk kita bermegah-megah menunujukkan bahawasanya diri kita ini hebat. Mungkin hari ini rezeki kita, mana tahu keesokannya hari orang lain, yang penting niat kita adalah untuk mencari keredhoaan Allah. Begitulah pesanan Akh Hussien Azmi (senior debat arab) kepada kami sebelum kami memulakan agenda perdebatan. Marilah kita sama-sama muhasabah diri ini kembali.

Tuesday, February 10, 2009

MPP USIM 2008/2009 Perjuang Tiga Misi Utama

Nilai, 2 Februari 2009 – Termetrailah sudah perlantikan barisan kepimpinan MPP baru bagi tahun 2008/2009 yang menyaksikan majlis serah tugas dan mengangkat sumpah mengaku taat setia kepada Pengurusan Universiti dalam membantu Universiti untuk mencapai Visi dan Misi Universiti selari dengan aspirasi negara.

Menyoroti proses pilihan raya MPP yang diadakan pada 13 Januari yang lalu, USIM mempertandingkan sebanyak 24 kerusi iaitu 8 untuk kawasan Umum dan 16 untuk kawasan Fakulti. 4 buah kerusi menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Sebanyak 95.75% pelajar keluar mengundi menjadikan USIM antara IPTA yang mempunyai peratusan yang tinggi dalam membuang undi.

Saudara Muhammad Alif Ismail, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah telah mendapat undian yang tertinggi sekali gus melayakkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua MPP bagi sesi 2008/2009. Berqasadkan kepada slogan Motivasi, Profesional dan Perubahan, MPP kali ini memperjuangkan tiga misi utama iaitu empati/prihatin kebajikan mahasiswa, Optima Potensi Intelektual Mahasiswa dan Pengantarabangsaan dan Jana Personaliti Mahasiswa Dinamik dan Islamik.

Seperti tahun-tahun sebelumnya pihak pengurusan Universiti telah bersetuju memperuntukkan dana di dalam Tabung Khas MPP bagi tujuan memudahkan MPP merancang dan membangunkan program-program kemahasiswaan sepanjang 2008/2009. Bagi tujuan memantapkan lagi pengurusan pentadbiran MPP sesi 200/2009, pihak pengurusan juga telah sebulat suara bersetuju memperuntukkan insentif kepada barisan MPP atas usaha dan kerja keras mereka dalam membangunkan program-program pembangunan.
Majlis diakhiri dengan penyerahan Fail Tugas oleh Saudara Farid Din, Mantan MPP kepada Saudara Muhammad Alif Ismail sebagai simbolik untuk majlis ini disaksikan oleh Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin.

Thursday, February 05, 2009

Perak oh Perak...

Pertama kalinya aku melahirkan rasa sedih dan terharu yang tidak terhingga kerana tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak semalam tumbang dan BN kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah setelahmana Sultan Perak enggan memperkenankan pembubaran DUN. Mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN. Oleh itu, Ir Nizar Jamaluddin bersama semua EXCO diarah meletak jawatan. Tiba-tiba aku terkenangkan Kedah dan Selangor. adakah negeri Pakatan Rakyat yang baru setahun jagung akan menerima nasib yang sama seperti Perak dek kerakusan UMNO yang terlalu dahagakan negeri-negeri ini..?? Tidak mustahil.

Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan PKR, diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong. Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota yang ralit 'dipermainkan', Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam. BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas yang mangkuk hayun tu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Cuma persolan yang timbul. Adakah perkara ini melibatkan kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering.?? Adakah tindakan mereka hanya sekadar untuk menutup 'fail'.?? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Mengulas kenyataan Tok Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS, menyifatkan perbuatan berpaling tadah di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan negeri adalah pengkhianatan kepada penyokong mereka yang bersusah payah berkempen ketika pilihan raya umum lalu. "Saya rasa cukup dukacita apabila timbul cerita wakil rakyat hilang selama dua tiga hari dan kemudian nak melompat. Saya tak faham macam mana keadaan ini boleh berlaku di Malaysia. Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut". Kalau aku bukan takat baling kasut, tembak bagi mati buang senang...

Setiap perkara yang berlaku tentu ada hikmahnya, sama ada baik atau buruk Segala ujian yang datang bermakna Allah masih 'sayang' pada kita. Allah ingin melihat samada kita ini hamba yang bersyukur atau tidak. Allah tidak terus-terusan membiarkan kita hanyut dalam kemaksiatan. Justeru itu, diri yang hina ini, menyeru kepada semua pejuang-pejuang Islam khususnya penggerak Pakatan Rakyat, marilah sama-sama kita perkasakan kembali tarbiyyah dalam jiwa kita dan jamah kita. Pupuklah hati ini di jalan redho Allah. Pejuang Islam tidak pernah gentar atau takut pada musuh, mereka tidak boleh dibeli dengan nilaian wang ringgit semata-semata kerana mereka hanya takutkan Allah dan mereka ada Allah sebagai pembantu mereka. Mati adalah lebih baik dari khianat dan berpaling tadah dalam perjuangan.

setiap amal kebaikan yang kamu kerjakan walau sebesar zarah akan turut dihitung, dan setiap amal kejahatan yang kamu kerjakan walau sebesar zarah juga turut dihitung. Al-Zalzalah:7 & 8

Islamic Book Fair di Indonesia


Sertailah Rombongan YAYASAN PAKSI ke ISLAMIC BOOK FAIR di JAKARTA. Anda berpeluang menghadiri perbahasan dan kupasan kitab-kitab kontemporari serta membeli kitab-kitab ilmiah dari pelbagai negara termasuk Timur Tengah dan JUTAAN kitab-kitab terjemahan di dalam bahasa Indonesia.


Apa Kelebihan Bersama Kami????
1. Pakej Ziarah Para Habaib (Habib2) dan pasentren yang terpilih di Indonesia.
2. Perkhidmatan Kargo dari Indonesia ke Malaysia akan diuruskan.
3. Pakej termasuk penginapan, pengangkutan dan penerbangan.
dan banyak lagi… pastinya menarik minat anda…


BILA???? Dari 5 sehingga 9 Mac 2009 ( Khamis sehingga Isnin)
BAYARAN hanya RM1500.00 sahaja… (Tawaran Pakej Pelajar : RM1200 sahaja).
BAGAIMANA NAK TEMPAH??? Buatlah tempahan anda dengan menghubungi di talian 013-6298600 (Farid) atau hubungi PAKSI KEDAH di talian 016-4426224 (Ustaz Akhyari).
Jangan tunggu lagi… Cepat bertindak dan segera daftarkan diri…

Wednesday, February 04, 2009

Seminar Pembinaan Ummah dan Pembasmian Murtad


Untuk maklumat lanjut klik di sini

Debat oh debat...

Salam pertemuan,
Bertemu kembali kita berkongsi ilmu dan pengalaman sambil memohon maghfirah dari Allah semoga perkongsian kita ini tidak menjadi sia-sia. Perbanyakkanlah Istighfar kepada Allah kerana kita sebagai Al-Basyar tidak terlepas dan selalu melakukan maksiat kepada Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW turut beristighfar kepada Allah sekurang-kurangnya 70 kali. Siapalah kita ini nak dibandingkan dengan Nabi. Lepas solat pun terus kita 'cabut' tanpa diiringi wirid, zikir dan doa kepada Allah, apatah lagi luar solat. Sama-samalah kita muhasabah diri masing-masing.

Berbalik kepada topik asal berkenaan Debat Piala Naib Canselor USIM yang bakal digamatkan pada 6,7 dan 8 Februari ini. Kelihatan gelagat pendebat-pendebat sedang bertungkus-lumus menghasilkan kerja yang terbaik demi mengangkat nama fakulti masing-masing. Saya yakin dan percaya, semua fakulti ingin merampas piala pusingan yang sekarang berada di tangan Tamhidi hasil gara-gara kemenangan yang tak dijangka-jangka pada tahun lepas.

Sebenarnya, penglibatan dalam arena perdebatan ini tidak kira dalam bahasa apa sekalipun amat baik dalam menajamkan fikiran kita. Kita mempelajari bagaimana berfikir secara tangkas untuk membidas hujah pihak lawan. Di samping itu juga bidang perdebatan ini melatih disiplin, adab dan kemahiran berdebat secara baik. Bak kata orang Kedah, bukannya main ghodong ikut dan ja.. Satu perkara yang trak dapat dinafikan, vocab kita akan mencanak tinggi semasa perdebatan terutamanya dalam bahasa asing. Oleh itu, sesiapa yang dapat peluang untuk berdebat, janganlah lepaskan peluang yang amat berharga ini.

Oleh itu marilah sama-sama memberi sokongan yang padu kepada pasukan pendebat fakulti masing-masing. Semuanya sama hebat dan dan sama mantap. Yang penting kita bersaing secara sihat. Kalah menang adat perlawanan, pengalaman dan kemahiran itulah sebagai bekalan kita melangakah di hari muka kelak kerana kemahiran ini tak dapat dalam dewan kuliah semata-mata. Ikhlaskanlah niat kita, Insya Allah. Wallhua'lam.

p/s: FSU akan merampas kembali Piala Debat Naib Canselor tahun ini...takbir!!

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP