Sunday, December 13, 2009

Diari Haji Zaki

Allhamdulilah, bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi tetamu Allah pada tahun ini (1430H). saya menulis serba sedikit tentang perjalanan saya ketika menunaikan haji diatas permintaan beberapa pihak terutamanya Abg Raja Azlan Shah beserta isteri. Moga-moga penulisan ini memberikan gambaran rangkas kepada sahabat2 berkaitan cara melaksanakan manasik haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Norfazareez b. Mohd Fauzi kerana memberi ruang kepada saya untuk menulis di blog beliau.



Di Makkah


Setelah melalui perjalanan yang meletihkan, kira-kira 30 jam perjalanan. Bermula dari airport Alor Setar ke KLIA, dari KLIA transit di Hong Kong, dari Hong kong ke Dubai, dari Dubai ke Jeddah, dari Jeddah naik bas pergi ke Makkah. Barulah sampai ke destinasi yang mana semua umat Islam berkumpul untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT iaitu menunaikan ibadat haji. Buat pertama kalinya saya sampai di Masjidil Haram, tempat yang mana saya yakin setiap individu yang beragama Islam pasti merinduinya.


Setelah sampai di Makkah, dalam keletihan, saya terus menunaikan umrah terlebih dahulu kerana saya memilih untuk melaksanakan haji Tamatu’. Adapun haji Tamatu’ ini diwajibkan dam. Ada tiga cara untuk melaksanakan haji, iaitu Ifrad, Qiran, dan tamatu’(untuk maklumat lanjut, boleh la rujuk kepada ustat2 yang bertauliah). Sementara menunggu hari bermulanya ibadah Haji, saya luangkan masa untuk beriktikaf di Masjidil Haram kerana bukan selalu dapat peluang sebegini rupa. Jarak dari hotel saya ke Masjidil Haram kira-kira 1km. So, kalau nak pergi solat berjemaah, kena keluar sejam lebih awal dari waktu solat. Perasaan ketika melihat Baitullah amat sukar digambarkan dengan kata-kata, pada saat itu, wang ringgit, perniagaan di dunia, dan segala kepentingan dunia luput dari minda. Cuma redha dan kempunan dari Allah yang diharapkan.



8 Zulhijjah 1430


Hari ini bermulanya perjalanan haji dan hari ini juga dikenali sebagai Hari Tarwiyah. Sebelum berihram, disunatkan mandi, memakai wangi-wangian di badan, merapikan rambut serta janggut. Selepas itu, berniat ihram ketika hendak keluar hotel. Saya keluar kira-kira pukul 3.00 pagi (waktu Saudi) menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat sunat ihram dan solat Subuh secara berjemaah. Selepas subuh (masuk waktu dhuha), saya menaiki sebuah van menuju ke Mina, malangnya, van tidak dibenarkan musuk ke kawasan Mina, terpaksalah berjalan kaki melalui terowong yang menghubungkan Makkah dan Mina kira-kira 2KM. Tiba di Mina pada pukul 11 pagi. Maha Suci Allah, hujan turun dengan lebat di Mina.


Apabila tiba di Mina, disuruh supaya menunaikan solat Zohor, Asar dan Isyak secara qasar tanpa jama’ dan bermalam di Mina. Ketika zaman Rasulallah SAW, tempat baginda bermalam ialah di Masjid Khif dan di masjid tersebut juga lah baginda dan para sahabat yang lain menunaikan solat lima waktu secara qasar tanpa jama’.



9 Zulhijjah 1430


Setelah selesai menunaikan solat Subuh di Mina, bersiap sedia untuk berangkat ke Arafah, untuk mendapatkan transport, kena berjalan kaki memasuki terowong yang menghubungkan Mina dan Aziziyah pula. Di Aziziyah, baru ada transport, bermacam-macam jenis, ada teksi, bas, prebet sapu, yang naik motosikal pun ada. Jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 14KM. Alhamdulillah, sampai juga saya di padang Arafah kira-kira pukul 1.00 tgh hari. Kepada para Jemaah, berwukuf di Arafah adalah kemuncak ibadat haji. Waktu berwukuf ialah sewaktu tergelincir matahari (selepas Zohor) hingga terbenam matahari (waktu Magrib).


Ketika di Arafah, gunakanlah sepenuh masa yang ada memohon ampun kepada Allah kerana pada waktu tersebut Allah akan memperkenankan doa dari hamba-hambaNya dan kepada yang tidak mengerjakan haji, disunatkan berpuasa pada hari terbut.



Apabila terbenam matahari, bersiap sedia menuju ke Muzdalifah untuk bermalam di sana. Kali ini bukan naik van tapi naik atas bumbung van, punya la gayat, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Selama 4 jam ’beritikaf’ kat atas bumbung van disebabkan terlalu ramai para jemaah yang hendak ke Muzdalifah. Setibanya disana, solat Magrib dan Isyak secara jama’ takhir. Perjalanan hari ini memang meletihkan, setelah selesai solat, saya terus tidur beralaskan tikar berbumbungkan langit hingga ke Subuh. Batu-batu kecil sebanyak tujuh biji boleh la di kutip di sini (tidak semestinya di Muzdalifah) untuk melontar jamrah Aqabah pada keesokannya.



10 Zulhijjah 1430


Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Walillahilhamd..Selamat hari Raya Eidul Adha kepada keluarga dan sahabat2 di Malaysia. Kami para jemaah haji disini menyambut hari ini sebagai Hari Nahar. Pada hari ini, jemaah haji perlu menyelesaikan beberapa perkara iaitu melontar jamrah Aqabah (jamrah yang paling dekat sekali dengan Makkah), melaksanakan Qurban, bercukur atau bergunting, dan Tawaf Ifadhah (adapun Tawaf Ifadhah dan Sa’i kalau tidak sempat mengerjakan pada hari ke-10, boleh dilewati pada hari-hari tasyrik, dan jika tidak berkesempatan juga boleh dilaksanakan selepas daripada itu dengan syarat tidak keluar dari Makkah)


Oleh kerana kesuntukkan masa kerana kesesakkan jalanraya yang teruk ketika perjalanan dari Muzdalifah ke Mina, saya hanya sempat melontar jamrah Aqabah dan bergunting. Bererti saya sudah melakukan Tahalul Awal (bererti sudah bebas dari pantang larang kecil seperti memotong kuku, memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala dan sebagainya kecuali hal2 yang berkaitan dengan perkahwinan). Pada hari ini, saya bermalam di Mina (maknanya bermulalah hari Tasyrik dan bermalam selama 3 malam).



11 Zulhijjah 1430


Selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Mina, saya terus menuju ke Makkah untuk melakukan Tawaf Ifadhah dan Sa’i. Kali ini sudah serik menaiki kenderaan kerana banyak masa terbuang begitu saja, saya memilih untuk berjalan kaki dari Mina menuju ke Makkah (kira-kira 6km dan mengambil masa 2jam). Setelah tiba di Masjidil Haram, setelah menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, barulah memulakan Tawaf. Tempat bermulanya Tawaf ialah di Hajr Aswad dan mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali pusingan. Adapun mengerjakan Tawaf, setiap jemaah perlulah bersuci dari hadas kecil dan besar (selalunya masalah ini terjadi kepada wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas, maka mereka boleh men

gerjakan Tawaf tersebut pada bila-bila masa setelah mereka bersuci dari hadas besar). Setelah selesai mengerjakan Tawaf, di sunatkan solat dua rakaat dan meminum air zam zam. Kemudian, barulah mengerjakan Sa’i, bermula di Safa dan berakhir di Marwah. Alhamdulillah, sudah selesai mengerjakan Tawaf dan Sa’i bererti sudah selesai rukun-rukun haji, kira-kira pukul 11.30 pagi. Hanya yang tinggal bermalam di Mina dan melontar jamrah pada hari Tasyrik yang merupakan wajib haji.


Setelah selesai, saya keluar dari Masjidil Haram dan ingin mendapatkan beg galas yang saya letakkan di luar Masjidil Haram (segala beg tidak dibenarkan masuk dalam Masjidil Haram). Malangnya, beg tersebut sudah hilang. Memang sudah dijangkakan sebegitu rupa, saya terlebih awal mengeluarkan wang dari beg tersebut. Kemudian, saya terus pulang ke hotel untuk berehat dan membiarkan beg itu bersemadi di situ. Selepas melelapkan mata selama dua jam, pada tepat pukul 2.30 petang, saya berangkat ke Mina semula untuk melontar tiga jamrah (jamrah Ula, jamarah Wusta dan jamrah Aqabah). Sekali lagi saya pergi ke Mina dengan berjalan kaki sejauh 6km. Alhamdulillah saya sampai di Mina dan melontar tiga jamrah sebelum terbenam matahari. Apa yang akan terjadi jika kita sampai setelah matahari terbenam? Alamatnya kena dam, kerana tidak dikira sebagai bermalam di Mina. Bermalam lah saya di Mina pada hari tasyrik..zzzzz (walaupun tidur sekadar dikaki lima sahaja, tapi Allah memberikan keselesaan seolah-olah tidur di dalam istana, syukur pada Allah yang memberikan nikmat kepada hambaNya)



12 Zulhijjah 1430


Hari ini sama juga seperti hari semalam, melontar tiga jamrah dan bermalam di Mina. Pada siangnya, saya pergi melawati jemaah Malaysia di Muasim (kira-kira 3km dan mengambil masa 1jam perjalanan dengan berjalan kaki). Ramai jemaah Malaysia bersiap sedia untuk meninggalkan Mina (dikenali sebagai Nafar Awal dengan sebab ada urusan lain di Makkah. Kepada siapa yang ingin melakukan Nafar Awal, perlu meninggalkan Mina sebelum terbenamnya matahari, kalau tidak dia diwajibkan bermalam di Mina juga). Kepada siapa yang tidak ada urusan di Makkah, bermalam di Mina lebih afdal. Pada hari-hari Mina, perbanyakkanlah bacaan Quran dan zikir kepada Allah SWT.



13 Zulhijjah 1430


Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Mina. Saya menunggu sehingga selepas solat Zohor, baru lah saya melontar tiga jamrah (waktu melontar jamrah pada hari tasyrik ialah setelah tergelincir matahari). Setelah melontar, barulah pulang ke Makkah dengan berjalan kaki juga. Ketika dalam perjalan, singgah di kedai makan, pekena Kabsah dulu dengan ayam Masywi, makan dalam talam plak tu (hehe, kepada sahabat2, saya dah jemu makan Kabsah dan Shawarma sebab hari2 dok makan benda tu ja).


Jadi, inilah perjalanan atau kronologi ketika melaksanakan manasik haji. Saya menulis diari ini khas untuk memberikan bayangan ringkas kepada sahabat2 sekalian. Insyaallah, antum sekalian akan mendapat jemputan dari Allah pada usia yang muda ini. Dan kepada pembaca artikel ini, jika terdapat sebarang kesilapan berkaitan dengan hukum-hakam manasik haji, harap dibetulkan. Wallahua’lam.



Sisa-sisa hari di tanah haram.


Masih berbaki tiga hari sahaja lagi di Makkah. Pada masa yang ada, saya melazimi solat fardhu di Masjidil Haram secara berjemaah. Gemersik suara imam al Juwaini tidak dapat dilupakan, masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Selepas itu, saya pergi ke rumah haji Ahmad (rakyat Malaysia yang menetap di Makkah sejak usianya 19 tahun) yang terletak berdekatan dengan tanah perkuburan Ma’la (tanah perkuburan untuk para jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan haji). Dapat juga makan daging korban, bukan senang nak cari rendang kibas kat Makkah ni, punyala sedap tak terkata sheh.



Sempat juga saya melawati Amirul Haj Thailand, Dr Ismail Lutfi. Niat di hati hendak menziarahi Dr Zul di Janadriah, tetapi masa tidak mengizinkan kerana ingin berangkat ke Madinah Al Munawarah. Sebelum meninggalkan Baitullah, perlulah Tawaf Wada’.



Menziarahi Rasulallah SAW


Alhamdulilah, Walaupun hanya dua hari berada di Madinah, sudah cukup untuk mengubat rindu kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Meskipun menghadapi perjalanan yang amat sukar sekali ketika hendak ke Madinah, check point demi check point, mengambil masa kira-kira 12 jam untuk menyelesaikan segala dokumen (musim haji memang begini kerana setiap jemaah haji yang memegang visa haji, semuanya berada di bawah kawalan Kementerian Haji Arab Saudi termasuk Tabung Haji).



Perkara pertama sekali, saya memasuki masjid Nabawi dan solat sunat Tahiyatul masjid di dalamnya. Kemudian, saya bergegas ke Raudhah (tapak masjid Nabawi yang asal). Dapat juga saya solat fardhu zohor secara berjemaah di situ. Pada masa itu, terasa seolah-oleh Rasullallah SAW dan para sahabat menunaikan solat bersama kita.


Sebelah kiri Raudhah yang berada di belakang sedikit, itu lah rumah Saidina Ali RA dan di situlah baginda Rasullallah SAW bermain dengan cucu baginda Saidina Hassan dan Hussein. Setelah selesai solat Zohor, dengan perlahan-lahan yang pergi ke sebelah kiri di hadapan masjid, di situlah rumah baginda Rasullallah SAW dan di situ juga terletaknya makam Rasulallah SAW, rasul yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam keseluruh pelusuk dunia, seorang Kekasih Allah SWT dan di situlah bersemadinya sebaik-baik manusia. Maka, lafazlah Assalmualika Ya Rasullah. Kemudian, di sebelah baginda, bersemadinya Saidina Abu Bakar As Siddiq RA, seorang sahabat baginda yang paling akrab, seorang teman kepada Rasulallah SAW ketika bersembunyi di Gua Thur. Maka, berilah salam kepada beliau. Kemudian, di sebelah makam Saidina Abu Bakar RA, terletaknya makam Saidina Umar Al-Khatab RA. Saidina Umar merupakan seorang sahabat yang sangat tegas pada zaman pemerintahannya dan disebabkan itu, Islam berkembang luas hampir keseluruhan dunia termasuk membebaskan tempat suci umat Islam ketiga iaitu Masjid Aqsa.


Akhir Kata

Konklusinya, saya harapkan saya akan dijemput oleh Allah SWT pada lain kali, begitu juga kepada sahabat2, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya memberi peluang dan ruang untuk menjadi tetamu Alah SWT. Mungkin perjalanan saya agak berbeza dengan para jemaah haji Malaysia yang lain, kepada siapa yang pergi melalui Tabung Haji atau pakej yang bernaung di bawah Tabung Haji, mungkin tidak serumit seperti ini. Jika melalui Tabung Haji, segala kemudahan makanan, pengangkutan, tempat tinggal (khemah atau maktab) disediakan. Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada ayah saya Hj Rosdi b. Hj Shariff kerana memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan manasik haji meskipun berada dalam serba kekurangan. Saya kira inilah hadiah yang paling istimewa yang pernah saya dapat sempena menyambut ulang tahun saya yang ke 20.


p/s: catatan diatas merupakan coretan ringkas dari Haji Zaki.

Wednesday, December 09, 2009

Jeans vs Slack : Simbolik negatif dan positif ..?



Melangkah masuk ke pintu gerbang Maktab Mahmud, Alor Star mengigatkan aku pada 'pantang larang' maahad. Langkah diatur, bahasa disusun, pakaian dijaga, agar ia tidak menyinggung 'pantang larang' si 'penunggu' setia.

Meskipun pak guard sentiasa bersiap siaga di bilik kebalnya, ia tidak perlu mengingatkan hal ini kepada putera puteri maahadi apatah lagi kepada yang sudah menjadi 'bekas'. Ya, ia memang tradisi yang diwarisi! Bertudung litup bagi puterinya di bawah paras dada, berkopiah bersongkok, berserban bagi puteranya. Usah bersandiwara jika di dahi sudah terukir pelajar Maktab Mahmud.

Cerita dulu-dulu, kalau sesiapa yang tidak memakai kopiah, tak thiqah namanya. Tambahan pula seluar jeans dikenakannya, alamatnya cop fasiq yang kena. Itu cerita dulu, "kalau nak diikutkan dulu, tok aku pun anak dara" frasa dari seorang sahabat. Geli hati mendengarnya.

Hari ini aku terfikir, apakah yang wujud ketika aku berada di maahad suatu ketika dahulu hanya cuma satu tradisi turun temurun..? Apakah ini merupakan simbolik kepada jeans bahawa ia sesuatu yang negatif. Perlu dibuang jauh..Pernah aku cuba menimbulkan isu ni di dalam post-post terawal aku, tetapi versi yang sedikit berbeza.

Hal ini kembali segar setelah perbincangan ilmiah berlaku antara sahabat di ruang maya Facebook. Bukan mencari siapa yang benar siapa yang salah. Bukan juga ingin mempertahankan adat dan tradisi. Jika benar katakan benar, jika salah katakan salah. Apa pendapat anda..?


p/s: satu koleksi jeans terbaru berada di dlm almari hasil pemberian zaki, setelah hampir 8 tahun almariku tidak tersimpan jeans..

Monday, November 23, 2009

Aqidah+Tarbiah+Ciri Islam=Dakwah

الحمدلله نستعينه ونستغفروه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئآتي أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله

قال الله تعالى في سورة النحل آية 125
ادع الى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إنّ ربك هو اعلمو بمن ضل عن سبيله وهو اعلم بالمهتدين


Mafhumnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik. Sesungguhnya Allah, Dialah yang lebih mengetahui siapayang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Saat saya cuba mengamati maksud ayat ini yang Allah cuba meberitahu kepada manusia, timbul satu persoalan mengapakah Allah menggunakan perkataan HIKMAH dalam ayat tersebut. Tidak pula Allah menggunakan KHAIRIAH iaitu serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara yang baik, ataupun SYADIDAH dengan cara yang keras.

Inilah kelebihan Al-Quran sari sudut bahasa. Dan Bahasa Arab sendiri mempunyai keunikannya yang tersendiri. Kadangkala banyak perkataan Bahasa Arab hanya mempunya 1 terjemahan dalam Bahasa Malaysia, tetapi hakikatnya setiap perkataan tersebut mempunyai maksud yang berlainan mengikut, tempat, keadaan, masa dan sebagainya.

Selama hampir 3 hari saya 'bermain' dengan ayat tersebut. Sedikit terungkai beberapa persoalan. Ya, HIKMAH kalau diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud BIJKASANA. Bermakna serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana. Dakwah memerlukan ilmu, kepakaran, memahami situasi dan keadaan. Itulah yang dikatakan bijaksana. Dakwah kepada orang muda berlainan caranya dengan dakwah kepada golongan yang lebih berumur.

Oleh itu saya cuba gabungkan 3 elemen penting untuk menghasilkan dakwah yang berkesan dan mantap. Aqidah yang kuat dan sejahtera, Tarbiah yang kukuh, dan pemahaman ciri-ciri dan sifat-sifat Islam. 3 elemen ini perlu ada dalam setiap diri dan jiwa pendakwah jika mereka inginkan suatu kesan dakwah yang mendalam.


AQIDAH YANG SEJAHTERA

Persoalan Aqidah merupakan persoalan pokok dalam kehidupan setiap muslim. Jika rosak aqidah seorang mulim, maka hancurlah keseluruhan amalnya bagai debu-debu yang bertaburan. Aqidah berasal dari perkataan 'aqada' yang membawa maksud satu ikatan yang kukuh dan kuat yang mustahil untuk dirungkaikan.

Persoalan aqidah yang akan membawa halatuju seoarng dai'e supaya mengajak orang menyembah Allah yang satu. Jika aqidah seorang dai'e itu sendiri rapuh, bagaimanakah ia mahu mengajak orang menyembah Allah yang satu, sedangkan dia sendiri masih ragu dengan kewujudan Allah.

Di samping itu, aqidah adalah satu tali yang mengikat manusia dengan penciptanya. Mana mungkin seoarang dai'e boleh berjaya dalam karier dakwahnya sekiranya tidak mendapat bimbingan dari Allah.


TARBIAH YANG KUKUH

Tarbiah berasal dari perkataan 'rabba' yang bermaksud didik. Didikan dan pengajaran yang betul memberi kesan kepada setiap dai'e dalam menjulang kalimah tiada Tuhan selain Allah.

Tarbiah merupakan satu cabang ilmu yang luas perbincangannya. Tarbiah adakalanya senang dan mudah untuk dilaluinya, dan adakalanya payah dan penuh cubaan. Begitu jugalah tarbiah Allah kepada dai'e, kadangakala Allah memberi kesenangan kepada mereka untuk menguji adakah mereka bersyukur dengan nikmat kesenangan, dan kadangkala Allah memberi kesusahan dan kepayahanuntuk melihat adakah mereka mampu bersabar di atas ujian yang diberikan. Sekiranya tarbiah yang tidak kukuh berada dalam diri seorang dai'e nescaya ia akan rebah tersungkur.

Seperti yang saya katakan tadi bahawa tarbiah adalah satu aspek yang cukup luas, ia menuntut kita menggarapnya mengikut kefahaman dan kedaaan semasa. Satu analogi yang cukup mudah, secara umumnya silibus pelajaran Tahun 1 bersesuaian dengan tahap pemikiran seoarang budak berumur 7 tahun. Mana mungkin seoarang murid Tahun 1 mampu mengikuti pelajaran yang menggunakan silibus di peringkat Doktor Falsafah. Seorang tentera, mereka berlari, merangkak, berkawad dan sebagainya. Mana mungkin seoarang penari ballet perlu diberi ajaran sama seperti seoarang tentera.

Justeru itu, itulah Hikmah yang disebut di awal tadi, Mungkin tarbiah secara kekerasan sesuai terhadap satu golongan dan tidak sesuai pula dengan golongan yang lain. Mungkin tarbiah ke arah lebih agresif sesuai dengan keaadan dan waqi' setempat, tidak pula sesuai diadaptasikan di sestengah tempat yang memerlukan mereka bergerak secara berhati-hati dan berjaga-jaga.


CIRI-CIRI ISLAM

Islam mempunyai 6 ciri utama iaitu Rabbaniah (hubungan dengan Allah), Syumuliah (ajaran islam lengkap dan menyeluruh), Waqi'iyyah (mengikut suasana dan tempat), A'lamiyyah (sejagat), Thabat wa Murunah (tetap pada hukum yang qat'i dan fleksibel perlaksanaanya), dan Inqilabiyyah (menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyyah).

Kenam-enam ciri Islam perlulah dihadam dengan baik oleh setiap dai'e sebelum mereka mengimpikan suatu kesan dakwah yang berkesan. Saya tertarik untuk membahaskan ciri Waqi'iyyah dan Thabat wa Murunah. Kita melihat bahawa setaip tempat mempunyai keadaan dan kondisi yang berbeza. Justeru, ia menuntut kepada seiap dai'e memahami keadaan tersebut. Orang cina makan menggunakan chopstik. Usahlah dipaksa orang melayu makan menggunakan chopstik, tambah pula kalau laksa yang dimakannya. Begitulah perumpamaannya.

Oleh itu, datangnya Islam untuk memudahkan bukan merumitkan. Islam itu fleksibel. yang hak dan benar tetap dikatajan benar, yang bathil dan slah tetap dikatakan salah. Yang bezanya cuma cara pembawakannya sahaja. ia sesuai untuk setiap keadaan dan zaman. Bahkan, kitalah yang sering menyempitkan konsep Islam. Islam hanya ada di masjid dan surau. Politik bukannya di masjid. Syeikh, Islam ini ada di mana-mana. mula bangun tidur samapilah tidur balik, mula hidup sampailah dibangkitkan semula selepas mati.

Saya cuba membawa realiti semasa di kampus. Memang diakui bahawa sesetengah kampus terpaksa menggunakan pendekatan yang agresif dan 'ganas' demi mencapai dakwah yang berkesan. Tidak pula si sesetengah kampus yang keadaannya aman damai dan tenang tanpa provokasi dari mana-mana pihak. Kedua-duanya tidak salah. Waqi'iyyah dan Thabat wa Murunah menentukan segalanya. Jika ramai orang menerima ajakan Islam dengan cara yang pertama tanpa mudhorat kepada mana-mana pihak itulah yang dikatakan Hikmah. Jika cara yang kedua lebih berkesan mengikut keadaan kampus, maka itu juga adalah hikmah.

Rata-rata orang menilai gerakan dakwah di kampus dengan menilai tahap 'kelesuan' dakwah yang berjalan. Cuma, persoalan yang ingin saya utarakan adalah, apakah 'kayu ukur' yang digunakan untuk menilai tahap 'kelesuan' tersebut. Adakah lesu itu dinisbahkan kepada gerakan secara aman dan berhati-hati dantidak lesu itu gerakan secara agresif dan bersifat menentang? Fikirkan bersama.


KONKLUSI

Sebelum saya meletakkan noktah untuk post kali ini, saya cuba bawa para pembaca sekalian menyoroti sirah perjuangan Nabi SAW yang mana Nabi menerapkan 3 elemen ini dalam gerakan dakwah baginda.

Di awal dakwah Nabi, Aqidah adalah yang paling utama diterapkan. Buktinya, 13 tahun dakwah nabi di Makkah adalah berkisar soal aqidah dan akhlak. Hal ini boleh dilihat kepada persetujuan jumhur ulama' mengatakan bahawa di dalam ayat makiyyah (ayat yang diturunkan kepada Nabi ketika di Makkah) berbicara soal iman dan akhlak.

Kemudian, tarbiah yang diterapkan oleh Nabi kepada para sahabat adalah tarbiah yang kukuh dan mantap. Tarbiah Umar Al-Khattab tidak sama berbanding tarbiah Abu bakar As-Siddiq. Nabi mengenali potensi setiap para sahabat. Siapakah yang patut berada di barisan hadapan, siapa pula yang patut berada di belakang. Itulah cantiknya strategi Rasulullah.

Ciri-ciri Islam turut ditonjolkan bersesuaian dengan kedaaan dan pemahaman masyarakat. Bagaimana kita melihat Nabi perlu berdakwah secara Sir pada 3 tahun permualaan dakwah Nabi yang hanya dianggotai ahli keluarga terdekat dan orang tertentu sahaja. Perjumpaan dilakukan di rumah Arqam bin Abi Al-Arqam nun jauh di pinngir Kota Makkah.

Kemudian, dizahirkan ajaran Islam selepas 3 tahun berdakwah secara rahsia. Maka dikumpulkan penduduk Makkah pada ketika itu di Bukit Saffa bagi memberitahu ajaran Allah yang sebenar. Hal ini menunjukkan bahawa di awal 3 tahun pertama, Nabi mula mengumpulkan kekuatan dan tenaga, lalu setelah kuat Allah menyuruh untuk berdakwah secara terang-terangan memandangkan keadaan pada ketika itu sudah bersesuaian.

Demikianlah dakwah Rasulullah dalam menerapkan 3 elemen tersebut. Oleh itu, saya cipta 1 formula dakwah yang berkesan AQIDAH+TARBIAH+CIRI ISLAM=DAKWAH. Yang tinggal sekarang, bagaimanakah seorang dai'e cuba untuk mengaplikasinya. Sudah TAHU, yang tinggal cuma cetuskan rasa MAHU. Hayatilah konsep Hikmah, bukan untuk menyekat tapi untuk selamat.

Sekian sahaja buat kali ini, sedikit coretan dari Insan Biasa yang dhoif, moga Allah memeberi kekuatan untuk saya mengaplikasikan perkara di atas.

Monday, November 09, 2009

Selamat Pengantin Baru

Tanpa perancangan yang agak rapi, aku, a.muzaket, a.afiq, a.majdi, dan amir sufi pun membuat keputusan untuk tetap pergi ke walimah seorang sahabat @ senior kami.

Lantas, aku pun me'nyetart' motor meluru ke rumah zaki yamani. Ya bagi mendapatkan tunggangan kami esok hari. Alhamdulillah PEL 299 berjaya diambil, ditukar ganti dengan DBH 1553, kuda putih kesayangan amir walaupun akhir-akhir kerap buat hal.

Atas faktor keselesaan dan kecekapan aku untuk 'drift' sepanjang higway Karak, aku sebulat suara dipilih sebagai driver. Tepuk dahi la jawabnya, mau taknya, tak boleh nak tidoq...

Dengan kecekapan yang Allah kurniakan pada aku, 'BMW X6' zaki pun meluru menelusuri highway Kl-Seremban, seterusnya dibelok ke arah Kuantan-Cheras, lalu diambil pula simpang ke highway Karak. Lebuhraya Pantai Timur pula diredah. Perjalanan yang tenang, memakan masa hampir 3 jam. Lalu keluar di persimpangan Temerloh-Jerantut-Mentakab.



Perjalanan masih berbaki 54 km ke Jerantut dari Mentakab. Sampai kami di Masjid Tengku Abdullah, Jerantut. Ternampak kelibat si 'Teruna' dalam 'Evo' biru beliau. Sedang melayan perasaan menunggu jam 12 untuk bersiap ke rumah pengantin perempuan. Sempat lagi kami pekena roti canai dulu.




Kemuadian, pengantin pun mula bersiap-siap. Tak kurang juga si pengapit yang bersiap bagai nak rak mengalahkan pengantin. Sampin disimpul, muka dibedak, janggut dicukur dan akhirnya keris disarungkan ke tempatnya. Tampak segak bergaya.







Rombongan terus bergerak menuju rumah pengantin perempuan, aku disuruh membawa pengantin. So, aku la yang lead. Perjalanan memakan masa lebih kurang 20 minit ke Felda Padang Piol. Akhirnya kami selamat sampai. Pengantin diarak masuk dan makan beradab.





Aku and the gang membuat keputusan untuk tidak turut serta dalam acara makan beradab. Apa tidaknya, mana puas makan, kena cover line banyak. Baik kami mentekedarah kat luar. Kerbau menjadi santapan utama. Kali pertama aku merasainya. Tak banyak beza dari daging lembu.



Alhamdulillah, semua selesai. kami pun bertolak pulang ke Nilai lebih kurang jam 2.30 petang. Inilah time aku 'keseorangan'. Seorang demi seorang gugur syahid di medan perjuangan. Yang paling awal, co-pilot, diikuti amir si pengapit, a.muzakir juga tewas, majdi mula terkebil-kebil. Aku berbicara seoarng diri. Mujur Ukays menjadi peneman.



Usai sudah pengembaraan kami pada hari ini. Semoga A.Najib yang aku anggap macam abangku sendiri. Berbahagialah kalian melayari bahtera perkahwinan. Semoga dipermudahkan segala urusan. Lepas ni, A.Najib pula jadi penagapit ana..haha

Pengajaran yang aku dapat, aku akan berusaha mencari orang Kedah sebagai teman hidupku. Tak larat nak jalan jauh-jauh..!!!!!

Sunday, October 25, 2009

Muncul kembali

Salam pertemuan kembali kepada semua pembaca blog yang tak seberapa ni. Sudah ku katakan bahawa aku hanya INSAN BIASA yang bisa berdiri dan juga jatuh. Adakala aku meluru laju, adakala aku tersungkur.

Maaf kepada pengikut setia(jikalau ada) blog aku ini kerana telah ditutup buat seketika demi memberi ruang beruzlah untukku menjalani sesi pengislahan diri yang terlalu banyak dosa dan noda. Dalam sesi 'pengislahan' ini, aku banyak mengikuti hasil tulisan Ustaz Dzulkhairi yang terlalu banyak membuka mataku. Antaranya, "kita mengaku bahawa kita adalah pejuang Islam yang mendapat tarbiah, tapi dalam masa yang sama terpalit daki-daki maksiat pada diri kita".

Banyak yang telah ku pelajari sejak bergelar seorang blogger. Antaranya prinsip 'blog aku, aku punya sukalah nak buat apa pun'. Prinsip ini perlu diamalkan pada tempatnya. Rata-rata seluruh bloggers mendukung prinsip hak kebebasan bersura, kebebasan melontarkan pandangan dan pendapat seperti yang terkandung dalam fundamental rights.

Tapi tak ramai yang tahu bahawa setiap hak yang diberi ada takatnya. Sekiranya kita melebihi takat yang telah ditetapkan, maka akan punahlah hak tersebut. Mungkin di pihak kita merasakan hak kita telah dipenuhi, tetapi tidak pula sebelah pihak yang lain. Sebab itulah Islam juga datang untuk 'mengawal' segenap perlakuan manusia.

Memang benar apa yang ku katakan sebelum ini bahawa setiap perlakuan dan hak ada batas dan hadnya. Terkadang aku sendiri seolah menyangkal apa yang ku ucapkan. Dengan mudah aku menyelar sesetengah pihak tanpa berlapik bukti yang kukuh. Dengan mudah aku terus menghukum orang yang salah di mata aku.

Kita juga belum tahu pengakhiran hidup kita, adakah kita berakhir dengan husnul khatimah, atau sebaliknya dengan su'ul khatimah. Oleh itu sahabat sekalian, aku berpesan pada diriku yang hina ini dan kalian semua, didiklah nafsu ke jalan yang diredhoiNya. Semakin kita menghampiri Allah, semakin kuat cubaan dan dugaan, semakin kuat syaitan mengganggu.

Di kesempatan ini juga, sudilah kiranya kalian memaafkan dosa-dosaku. Doakan yang terbaik untuk kita bersama-sama menempuh ujian dan fitnah dunia. Inilah dikatakan perjalanan hidup. Sekejap ia terasa terlalu manis dari madu, sekejap ia terasa terlalu pahit mengalahkan hempedu. Inilah rencah kehidupan, yang menuntut kita mengadunnya dengan baik. Adakala ia digaul kasar, adakala ia diuli lembut.

"Untuk memenuhi seluruh tuntutan hati manusia, nescaya kita takkan terdaya untuk memuaskan seluruh hati manusia, tetapi penuhilah tuntutan Allah Yang Esa, kerana itulah kepuasan hakiki"

Friday, September 18, 2009

Buat orang Kelantan..

Sambil-sambil menatap akhbar pagi ni, tertarik dengan fakta ini...

Isian prabayar Kelantan dijangka RM4.2j

KOTA BHARU 17 Sept. - Celcom Wilayah Timur menjangkakan jumlah pengisian semula prabayar akan mencapai tahap tertinggi iaitu RM4.2 juta bagi Kelantan, Sabtu ini berikutan sambutan Aidilfitri.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, ia bakal mencatat rekod tertinggi dari segi jumlah pengisian semula prabayar bagi wilayah timur.

Beliau berkata, sasaran tersebut dibuat berikutan kejayaan syarikat telekomunikasi itu mencatat jumlah pendapatan RM3.8 juta sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas.

''Kelantan merupakan sebuah negeri yang unik bagi telekomunikasi disebabkan susah untuk membuat jangkaan sebenar peningkatan dalam bidang ini.

''Ia selalunya lebih tinggi berbanding jangkaan dan negeri ini memegang rekod jumlah pengguna Celcom yang tertinggi berbanding dua buah negeri lagi.

''Setakat ini, kita menguasai 60 peratus pasaran di Kelantan dan ia menyumbang 40 peratus kepada pendapatan Celcom Wilayah Timur.

Ini bermakna ore klate banyok kecek...ish3 (tlg perbetul wahai orang2 kelantan sekalian terutamanya Amir kalau salah..hehe)

'Pengganas' No.1 Asia tersungkur..

Sempat menyelak dada-dada akhbar tempatan hari ini, paparan utama mengenai kematian 'pengganas' No.1 Asia, Noordin Mat Top yang berasal dari Malaysia yang juga merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI) yang paling dikehendaki.

Setelah pemburuan Noordin dilakukan selama 6 tahun, pada hari ini polis Indonesia berjaya mengepung tempat persembunyian mereka di Solo, Jawa Tengah pagi ini. Dikatakan bahawa Noordin meletupkan dirinya sejurus mereka dikepung menyebabkan mayatnya hancur dan terputus kepalanya.

Pada kali ini, Ketua Polis Indonesia yakin bahawa mayat tersebut adalah mayat Noordin berikutan tanda cap jari dan ciri-ciri yang menepati maklumat mengenai Noordin walaupun selama ini telahan mereka selalunya salah. Dan saya tidak hairan jika selepas ini dikatakan bahawa Noordin Mat Top masih hidup.

Itulah ungkapan mereka terhadap Noordin Mat Top yang dianggap 'pengganas'. hal ini terpulang kepada individu masing-masing samada menganggap dia pengganas ataupun tidak. Tetapi yang menjadi persolan adalah perkataan Islam seringkali menjadi sandaran kepada keganasan.

Hal ini sedikit sebanyak menjejaskan pandangan orang terhadap Islam itu sendiri sedangkan Islam tidak pernah menganjurkan keganasan dan kezaliman. Akhir-akhir ini Islam dicop sebagai pengganas dan tidak mahukan keamanan. Maka lahirlah front-front yang menggunakan nama Islam yang menganggap mereka memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya mereka itu tersasar dari landasan yang sebenar.

Ini menyebabkan usaha dakwah Islam yang sebenar terbantut dek pengaruh pemikiran anti-terorism ini. Usrah dianggap melahirkan orang yang 'ganas', memakai kopiah dan serban, ini pengganas, berjanggut berjambang turut dikata pengganas, semuanya ganas-ganas.

Saya bukanlah ingin menunding jari menunjuk salah kepada sesiapa. Tetapi rujuk kepada diri sendiri. Hakikatnya kita perlu bernaung di bawah satu jemaah yang jelas dasar perjuangannya, betul method pembawakannya, menjamin kelangsungan dakwahnya. Setiap tempat ada waqi'nya yang tersendiri. Sesetengah tempat memerlukan mereka mengangkat senjata dalam berdakwah, sesetengah tempat memerlukan mereka bergerak secara senyap menyebarkan dakwah, sesetengah pula mereka boleh buat ucapan secara terbuka. Jadi tiada siapa yang betul atau salah selagi mereka selari dengan anjuran asal Islam.

So, bagi di Malaysia, mungkin cara berjuangnya agak berbeza berbanding di Indonesia, Mesir, Iraq dan sebagainya. Di Malaysia kuasa 'pena' lebih memainkan peranan. Selaku negara yang mengamalkan demokrasi, sesebuah kerajaan boleh ditumbangkan dengan sebatang 'pensel'. Jika rakyat merasakan kerajaan tidak berjaya membawa seruan dakwah Islam, cuma perlu tandakan yang lain sewaktu mengundi.

Disebabkan hal inilah, keluar mengindi juga dikatakan 'jihad' di Malaysia. Kerana dengan undi kita boleh menumbangkan sesebuah kerajaan yang zalim. Inilah cara berjuang kita. Tidak perlu kita mengangkat senjata kerana inginkan mengembalikan sistem khalifah buat masa sekarang. Bukan saya ingin menafikan jihad menggunakan senjata. Kita perlu akur bahawa inilah satu-satunya medium yang diberi kepada kita. Jadi, rebutlah peluang yang ada di depan mata, berbanding benda yang belum lagi wujud.

Saya harap tulisan saya ini bakal dibaca rata-rata rakyat yang berada di DUN Bagan Pinang. Selepas ini Pilihanraya kecil bakal menyusul. Inilah 'medan pertempuran' anda..(ayat kempen ni)

Saturday, September 12, 2009

Ayuh Mahasiswa Merejuvenasi Malaysia!

klik pada imej untuk paparan lebih jelas

"Ayuh kita bernaung di bawah satu suara, satu seruan demi melihat Malaysia tercinta berubah menjadi yang terbaik hasil gugahan dari tangan-tangan anak muda yang inginkan perubahan"

Friday, September 11, 2009

Himpunan Aidilfitri Mahasiswa Kedah

*Sila klik pada image utk paparan lebih jelas

Seruan kepada seluruh mahasiswa / mahasiswi Kedah yang bertebaran di seantero dunia untuk turut sama-sama memeriahkan majlis yang julung-kali diadakan ini. Insya Allah, sebarkan berita ini kepada semua kenalan, ahli keluarga, sanak saudara...


ATURCARA MAJLIS:

09.00 pagi : Ketibaan peserta dan pendaftaran

09.15 pagi : Ketibaan VIP

09.30 pagi : Ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis

: Bacaan Al-Quran

: Tayangan slide show raya

: Slide pengenalan pimpinan baru PERSADA

10.00 pagi : Ucapan :

- Presiden PERSADA (Sdr Syazwan bin Ahmad)

- Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah

(YB Dr. Hamdan Bin Mohamed Khalib)

11.00 pagi : Bersama Menteri Besar

- Ucapan dan amanat

12.00 t.hari : Sesi dialog

12.10 t.hari : Tayangan slide show

01.15 t.hari : Jamuan

- bersurai

Saturday, August 22, 2009

'Tamrin Ramadhan'


Moga 'tamrin' Ramadhan kali ini memberi seribu satu makna buat kehidupan
Kita bukan lagi di 'madrasah' Ramadhan
Kita sekarang hanya layak untuk diuji
Fatrah belajar telah lama berlalu
Sekarang masa untuk menguji
Apakah intipati pengajaran yang kita ambil dari Ramadhan yang lepas?

p/s: nak tulis panjang2 pun x larat. Kena ujian di hari pertama Ramadhan..demam

Monday, August 10, 2009

Mesti join! PEMIKIR '09

klik pada gambar utk paparan lebih jelas


Jangan lepaskan peluang untuk menyertai program ini. Membicarakan perihal Islam Liberal. Membariskan pembentang-pembentang kerja yang cukup hebat dan berpengalaman.

Anda boleh mendaftar penyertaan kepada saya dengan menghantar Nama-No. Matrik-IC- Fakulti- Kolej Kediaman- No. Telefon- di talian 013-6349795 (FAZAREEZ)

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP