Wednesday, January 27, 2010

"MAHASISWA" : mencanang perubahan?


"Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad, kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri, lalu mereka berkata, Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkara yang sangat jauh dari kebenaran" AL-KAHFI:13&14

Sekitar Pilihanraya Kampus (PRK), kedengaran frasa PERUBAHAN sering dilaung-laungkan oleh mahasiswa-mahasiswi sejagat. Ada yang ingin membawa perubahan pentadbiran universiti agar lebih baik dan sistematik. Ada juga ingin membawa perubahan yang berbentuk materialistik semata-semata. Tak kurang juga yang membawa agenda perubahan minda dan cara fikir mahasiswa. Apa-apa pun semua itu adalah perubahan mengikut takrifan literalnya.

Tetapi sedarkah kalian semua bahawa perubahan yang paling utama adalah dengan membawa insan dari menyembah selain Allah kepada menyembah Allah Yang Esa. Membawa ummah dari jurang api neraka ke dalam syurga yang abadi. Inilah misi utama diturunkan Rasul ke atas muka bumi. Kitalah penyambungnya bukan pemutus. Islam diturunkan sebagai titik pemisah jahiliyyah. janganlah kita merubahnya menjadi kembali jahiliyyah.

Setiap perubahan yang ingin dilakukan perlulah diletakkan satu tanda aras yang ingin dicapai. Ia perlu bermula dari dalam setiap insan yang ingin membawanya. Seharusnya bagi insan yang ingin membawa agenda perubahan ini, perlulah terlebih dahulu berubah. Berubah dari melakukan maksiat kepada meninggalkannya. Pasakkan kepercayaan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. Perbetulkan niat agar ia tidak tersasar. perkasakan tarbiyah ruhiyyah. Kita membawa perubahan bukan demi kepentingan individu, parti, atau sesebuah organisasi semata-semata. tetapi hanyalah untuk Islam tercinta.

Agenda perubahan yang dicanangkan bukanlah hanya berebentuk satu slogan yang sedap didengar, elok dipandang, semangat dilaung, ramai penyokongnya. Tetapi agenda perubahan perlulah meresap ke dalam hati setiap orang yang membawa dan orang yang menerima. Nilailah suatu perubahan itu dari sudut yang sepatutnya. Bukanlah atas dasar tidak puas hati kepada sesetengah pihak, juga bukan hanya ingin mengikut rentak orang lain. Cuma, perubahan itu perlu dicetuskan. Mungkin bukan kita yang merasainya, tetapi generasi yang mendatang bakal merasainya.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka pula ada yang menunggu-menunggu janji Allah dan mereka sedikitpun tidak pernah mengubah janjinya" AL-AHZAB:23



Saturday, January 09, 2010

"ALLAH: Siapa yang Punya?"

Monday, January 04, 2010

Membuka Tirai 2010 / 1431

Sudah hampir 2 dekad aku hidup atas muka bumi ini. Terasa cepat masa itu berlari. Cuma aku yang masih 'merangkak'. Merangkak dalam menceduk ilmu yang maha luas, merangkak dalam memahami perihal masyarakat dan keadaan sekeliling, merangkak dalam mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, merangkak dalam mengetengahkan polemik sejagat.

Pelbagai tanggungjawab dan komitmen menghiasi pembuka tirai tahun ini. Tanggungjawab sebagai seorang anak kepada orang tua, pelajar kepada ilmunya, makhluk kepada khaliqnya, 'tentera' kepada 'kumpulannya' dan berbagai lagi. Mungkin inilah HIJRAH aku, yang terkadang imannya jatuh merudum bak air terjun, yang terkadang tenang bergenang bak air di kolam.

Bermulanya tahun baru Muharam 1431 H, aku sudah pun berada di Nilai. Memulakan tahun baru dengan memenuhi harapan kedua orang tua dan adik-adik melawat sekitar Kuala Lumpur, Nilai dan Port Dickson. Harapan agar mereka tidak rajuk hati dek hanya kepulangan yang sebentar di rumah.

Setelah itu, keputusan perperiksaan semester lepas menjengah diri. Berbondong-bondong pesanan ringkas bertanyakan soalan yang sama. "Slm. Dh tengok result ka syeikh. Dpt bp?". Alhamdulillah, setakat inilah usaha yang setimpal dengan balasanNya. Masih mampu mengukir senyuman di bibir. Tahniah kepada semua sahabat seperjuangan atas keputusan antum dan antunna. Hidup mesti diteruskan. Hari ini adalah lebih baik dari hari semalam.

Yang pastinya, hidup ini menuntut pengorbanan dan penghijrahan. Dari bab besuci, berpindah kepada bab nikah kahwin. Mungkin ini menjadi sedikit pengubat buat beberapa orang sahabat tatkala 10 subjek menghiasi jadual semester ini. Masih jauh perjalanan. Masih banyak ilmu yang belum dikutip. Manfaatkan sebaiknya waktu yang masih ada wahai sahabat.

p/s: agak terlewat utk publish post ni..

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP