Seluruh Mahasiswa/Mahasiswi seluruh negara dijemput menyertai. Program ini adalah rentetan dari Kem Al-Fateh Siri 1 yang dibuat pada tahun 2009. Insya Allah, anda tidak akan rugi jika menyertai program ini. Anda bakal disajikan mutiara-mutira ilmu yang bermanfaat. Luangkan masa anda demi ISLAM!
Yuran hanyalah RM10 ( x pernah ada program 3 hari 2 mlm semurah ini...ish3)
Anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
"Ooo...baru aku teringat. Plan tergendala...haha," jawab Mat dengan nada berseloroh. "Hang dah buat appointment ngan Ustat hang dah ka?" tanya Mat menunjukkan sedikit keseriusan.
"Dah", sepatah Yahya menjawab.
"Awat ngan hang ni? Ketaq ka?, Mat cuba memujuk sahabatnya yang kelihatan gelisah.
"Ketaq jugak la, tapi time ni ja yang aku ada. Kalu tak pi kali ni, melepaih la aku," tegas Yahya.
"Macam ni la. Kita pi dulu jumpa Ustat hang, habaq dulu apa hasrat hang. Dia mau ka tak mau ka, kira lepaih tu," Mat memberi semangat.
"Bukan pa, aku rasa kalau Ustat hang jadi orang tengah lebih elok dan sopan. Sekurang-kurangnya tak la hang segan sangat nak habaq kat dia, betoi dak? sat lagi nampak kebuloq sangat" tambah Mat bersahaja.
Cinta itu fitrah. Tetapi ia tidak boleh mengorbankan agama, adat dan tatasusila. Ia harus dipupuk menurut acuan Ilahi. Ada cinta yang didorong akal. Ada juga yang disodong nafsu. Hakikatnya, cinta dan nafsu bergerak seiring. Penamatnya adalah ikatan perkahwinan. Ikatan yang menghalalkan seorang perempuan kepada seorang lelaki ajnabi. Ikatan yang terbina atasnya keimanan dan ketakwaan. Akad yang terkandung dalamnya sakinah, mawaddah dan rahmah.
Institusi kekeluargaan amat diambil berat oleh Islam. Bagaimana ia turut terkandung dalam 5 perkara yang dijaga oleh syariat. Menjaga keturunan. Dengan perkahwinan, Islam merealisasikan perkara tersebut.
Meniti usia sekitar 20-an suatu fasa yang cukup mencabar. Ada yang berkata, ini adalah turning point selepas alam persekolahan. Mula memikirkan soal memilih pasangan, tanggungjawab dan masa hadapan. Ada yang tewas kecundang. Tak kurang juga yang berjaya membina masjid sehingga ke menaranya tatkala berhadapan dengan buku dan law cases yang berlambak.
Aku sendiri pun belum pernah merasainya. Jikalau ditanya, siapa yang tidak mahu berumah tangga. Angan-angan memang sudah berada di mahligai. Hanya mampu melihat keadaan sekeliling dan mentafsir. Hasilnya aku mendapat kesimpulan, cinta lelaki dan perempuan jangan dihalang, kita harus memberi jalan keluar. Seperti yang aku katakan, penamat dan penyelesaiannya adalah KAHWIN.
Allah swt sendiri menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu, sebagai contoh dalam ayat :-
Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Puasa bercampur dengan istri-istri kamu; mereka itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu..." (Al-Baqarah : 187)
p/s: 1st time menjadi 'org tengah'. Aku sendiri pn belum ketengah lagi...haha. Semoga berjaya wahai sahabat.
"Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad, kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri, lalu mereka berkata, Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkara yang sangat jauh dari kebenaran" AL-KAHFI:13&14
Sekitar Pilihanraya Kampus (PRK), kedengaran frasa PERUBAHAN sering dilaung-laungkan oleh mahasiswa-mahasiswi sejagat. Ada yang ingin membawa perubahan pentadbiran universiti agar lebih baik dan sistematik. Ada juga ingin membawa perubahan yang berbentuk materialistik semata-semata. Tak kurang juga yang membawa agenda perubahan minda dan cara fikir mahasiswa. Apa-apa pun semua itu adalah perubahan mengikut takrifan literalnya.
Tetapi sedarkah kalian semua bahawa perubahan yang paling utama adalah dengan membawa insan dari menyembah selain Allah kepada menyembah Allah Yang Esa. Membawa ummah dari jurang api neraka ke dalam syurga yang abadi. Inilah misi utama diturunkan Rasul ke atas muka bumi. Kitalah penyambungnya bukan pemutus. Islam diturunkan sebagai titik pemisah jahiliyyah. janganlah kita merubahnya menjadi kembali jahiliyyah.
Setiap perubahan yang ingin dilakukan perlulah diletakkan satu tanda aras yang ingin dicapai. Ia perlu bermula dari dalam setiap insan yang ingin membawanya. Seharusnya bagi insan yang ingin membawa agenda perubahan ini, perlulah terlebih dahulu berubah. Berubah dari melakukan maksiat kepada meninggalkannya. Pasakkan kepercayaan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. Perbetulkan niat agar ia tidak tersasar. perkasakan tarbiyah ruhiyyah. Kita membawa perubahan bukan demi kepentingan individu, parti, atau sesebuah organisasi semata-semata. tetapi hanyalah untuk Islam tercinta.
Agenda perubahan yang dicanangkan bukanlah hanya berebentuk satu slogan yang sedap didengar, elok dipandang, semangat dilaung, ramai penyokongnya. Tetapi agenda perubahan perlulah meresap ke dalam hati setiap orang yang membawa dan orang yang menerima. Nilailah suatu perubahan itu dari sudut yang sepatutnya. Bukanlah atas dasar tidak puas hati kepada sesetengah pihak, juga bukan hanya ingin mengikut rentak orang lain. Cuma, perubahan itu perlu dicetuskan. Mungkin bukan kita yang merasainya, tetapi generasi yang mendatang bakal merasainya.
"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka pula ada yang menunggu-menunggu janji Allah dan mereka sedikitpun tidak pernah mengubah janjinya" AL-AHZAB:23
Sudah hampir 2 dekad aku hidup atas muka bumi ini. Terasa cepat masa itu berlari. Cuma aku yang masih 'merangkak'. Merangkak dalam menceduk ilmu yang maha luas, merangkak dalam memahami perihal masyarakat dan keadaan sekeliling, merangkak dalam mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, merangkak dalam mengetengahkan polemik sejagat.
Pelbagai tanggungjawab dan komitmen menghiasi pembuka tirai tahun ini. Tanggungjawab sebagai seorang anak kepada orang tua, pelajar kepada ilmunya, makhluk kepada khaliqnya, 'tentera' kepada 'kumpulannya' dan berbagai lagi. Mungkin inilah HIJRAH aku, yang terkadang imannya jatuh merudum bak air terjun, yang terkadang tenang bergenang bak air di kolam.
Bermulanya tahun baru Muharam 1431 H, aku sudah pun berada di Nilai. Memulakan tahun baru dengan memenuhi harapan kedua orang tua dan adik-adik melawat sekitar Kuala Lumpur, Nilai dan Port Dickson. Harapan agar mereka tidak rajuk hati dek hanya kepulangan yang sebentar di rumah.
Setelah itu, keputusan perperiksaan semester lepas menjengah diri. Berbondong-bondong pesanan ringkas bertanyakan soalan yang sama. "Slm. Dh tengok result ka syeikh. Dpt bp?". Alhamdulillah, setakat inilah usaha yang setimpal dengan balasanNya. Masih mampu mengukir senyuman di bibir. Tahniah kepada semua sahabat seperjuangan atas keputusan antum dan antunna. Hidup mesti diteruskan. Hari ini adalah lebih baik dari hari semalam.
Yang pastinya, hidup ini menuntut pengorbanan dan penghijrahan. Dari bab besuci, berpindah kepada bab nikah kahwin. Mungkin ini menjadi sedikit pengubat buat beberapa orang sahabat tatkala 10 subjek menghiasi jadual semester ini. Masih jauh perjalanan. Masih banyak ilmu yang belum dikutip. Manfaatkan sebaiknya waktu yang masih ada wahai sahabat.
Allhamdulilah, bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi tetamu Allah pada tahun ini (1430H). saya menulis serba sedikit tentang perjalanan saya ketika menunaikan haji diatas permintaan beberapa pihak terutamanya Abg Raja Azlan Shah beserta isteri. Moga-moga penulisan ini memberikan gambaran rangkas kepada sahabat2 berkaitan cara melaksanakan manasik haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Norfazareez b. Mohd Fauzi kerana memberi ruang kepada saya untuk menulis di blog beliau.
Di Makkah
Setelah melalui perjalanan yang meletihkan, kira-kira 30 jam perjalanan. Bermula dari airport Alor Setar ke KLIA, dari KLIA transit di Hong Kong, dari Hong kong ke Dubai, dari Dubai ke Jeddah, dari Jeddah naik bas pergi ke Makkah. Barulah sampai ke destinasi yang mana semua umat Islam berkumpul untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT iaitu menunaikan ibadat haji. Buat pertama kalinya saya sampai di Masjidil Haram, tempat yang mana saya yakin setiap individu yang beragama Islam pasti merinduinya.
Setelah sampai di Makkah, dalam keletihan, saya terus menunaikan umrah terlebih dahulu kerana saya memilih untuk melaksanakan haji Tamatu’. Adapun haji Tamatu’ ini diwajibkan dam. Ada tiga cara untuk melaksanakan haji, iaitu Ifrad, Qiran, dan tamatu’(untuk maklumat lanjut, boleh la rujuk kepada ustat2 yang bertauliah). Sementara menunggu hari bermulanya ibadah Haji, saya luangkan masa untuk beriktikaf di Masjidil Haram kerana bukan selalu dapat peluang sebegini rupa. Jarak dari hotel saya ke Masjidil Haram kira-kira 1km. So, kalau nak pergi solat berjemaah, kena keluar sejam lebih awal dari waktu solat. Perasaan ketika melihat Baitullah amat sukar digambarkan dengan kata-kata, pada saat itu, wang ringgit, perniagaan di dunia, dan segala kepentingan dunia luput dari minda. Cuma redha dan kempunan dari Allah yang diharapkan.
8 Zulhijjah 1430
Hari ini bermulanya perjalanan haji dan hari ini juga dikenali sebagai Hari Tarwiyah. Sebelum berihram, disunatkan mandi, memakai wangi-wangian di badan, merapikan rambut serta janggut. Selepas itu, berniat ihram ketika hendak keluar hotel. Saya keluar kira-kira pukul 3.00 pagi (waktu Saudi) menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat sunat ihram dan solat Subuh secara berjemaah. Selepas subuh (masuk waktu dhuha), saya menaiki sebuah van menuju ke Mina, malangnya, van tidak dibenarkan musuk ke kawasan Mina, terpaksalah berjalan kaki melalui terowong yang menghubungkan Makkah dan Mina kira-kira 2KM. Tiba di Mina pada pukul 11 pagi. Maha Suci Allah, hujan turun dengan lebat di Mina.
Apabila tiba di Mina, disuruh supaya menunaikan solat Zohor, Asar dan Isyak secara qasar tanpa jama’ dan bermalam di Mina. Ketika zaman Rasulallah SAW, tempat baginda bermalam ialah di Masjid Khif dan di masjid tersebut juga lah baginda dan para sahabat yang lain menunaikan solat lima waktu secara qasar tanpa jama’.
9 Zulhijjah 1430
Setelah selesai menunaikan solat Subuh di Mina, bersiap sedia untuk berangkat ke Arafah, untuk mendapatkan transport, kena berjalan kaki memasuki terowong yang menghubungkan Mina dan Aziziyah pula. Di Aziziyah, baru ada transport, bermacam-macam jenis, ada teksi, bas, prebet sapu, yang naik motosikal pun ada. Jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 14KM. Alhamdulillah, sampai juga saya di padang Arafah kira-kira pukul 1.00 tgh hari. Kepada para Jemaah, berwukuf di Arafah adalah kemuncak ibadat haji. Waktu berwukuf ialah sewaktu tergelincir matahari (selepas Zohor) hingga terbenam matahari (waktu Magrib).
Ketika di Arafah, gunakanlah sepenuh masa yang ada memohon ampun kepada Allah kerana pada waktu tersebut Allah akan memperkenankan doa dari hamba-hambaNya dan kepada yang tidak mengerjakan haji, disunatkan berpuasa pada hari terbut.
Apabila terbenam matahari, bersiap sedia menuju ke Muzdalifah untuk bermalam di sana. Kali ini bukan naik van tapi naik atas bumbung van, punya la gayat, hanya Allah sahaja yang mengetahui. Selama 4 jam ’beritikaf’ kat atas bumbung van disebabkan terlalu ramai para jemaah yang hendak ke Muzdalifah. Setibanya disana, solat Magrib dan Isyak secara jama’ takhir. Perjalanan hari ini memang meletihkan, setelah selesai solat, saya terus tidur beralaskan tikar berbumbungkan langit hingga ke Subuh. Batu-batu kecil sebanyak tujuh biji boleh la di kutip di sini (tidak semestinya di Muzdalifah) untuk melontar jamrah Aqabah pada keesokannya.
10 Zulhijjah 1430
Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Walillahilhamd..Selamat hari Raya Eidul Adha kepada keluarga dan sahabat2 di Malaysia. Kami para jemaah haji disini menyambut hari ini sebagai Hari Nahar. Pada hari ini, jemaah haji perlu menyelesaikan beberapa perkara iaitu melontar jamrah Aqabah (jamrah yang paling dekat sekali dengan Makkah), melaksanakan Qurban, bercukur atau bergunting, dan Tawaf Ifadhah (adapun Tawaf Ifadhah dan Sa’i kalau tidak sempat mengerjakan pada hari ke-10, boleh dilewati pada hari-hari tasyrik, dan jika tidak berkesempatan juga boleh dilaksanakan selepas daripada itu dengan syarat tidak keluar dari Makkah)
Oleh kerana kesuntukkan masa kerana kesesakkan jalanraya yang teruk ketika perjalanan dari Muzdalifah ke Mina, saya hanya sempat melontar jamrah Aqabah dan bergunting. Bererti saya sudah melakukan Tahalul Awal (bererti sudah bebas dari pantang larang kecil seperti memotong kuku, memakai pakaian yang berjahit, menutup kepala dan sebagainya kecuali hal2 yang berkaitan dengan perkahwinan). Pada hari ini, saya bermalam di Mina (maknanya bermulalah hari Tasyrik dan bermalam selama 3 malam).
11 Zulhijjah 1430
Selepas menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Mina, saya terus menuju ke Makkah untuk melakukan Tawaf Ifadhah dan Sa’i. Kali ini sudah serik menaiki kenderaan kerana banyak masa terbuang begitu saja, saya memilih untuk berjalan kaki dari Mina menuju ke Makkah (kira-kira 6km dan mengambil masa 2jam). Setelah tiba di Masjidil Haram, setelah menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid, barulah memulakan Tawaf. Tempat bermulanya Tawaf ialah di Hajr Aswad dan mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali pusingan. Adapun mengerjakan Tawaf, setiap jemaah perlulah bersuci dari hadas kecil dan besar (selalunya masalah ini terjadi kepada wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas, maka mereka boleh men
gerjakan Tawaf tersebut pada bila-bila masa setelah mereka bersuci dari hadas besar). Setelah selesai mengerjakan Tawaf, di sunatkan solat dua rakaat dan meminum air zam zam. Kemudian, barulah mengerjakan Sa’i, bermula di Safa dan berakhir di Marwah. Alhamdulillah, sudah selesai mengerjakan Tawaf dan Sa’i bererti sudah selesai rukun-rukun haji, kira-kira pukul 11.30 pagi. Hanya yang tinggal bermalam di Mina dan melontar jamrah pada hari Tasyrik yang merupakan wajib haji.
Setelah selesai, saya keluar dari Masjidil Haram dan ingin mendapatkan beg galas yang saya letakkan di luar Masjidil Haram (segala beg tidak dibenarkan masuk dalam Masjidil Haram). Malangnya, beg tersebut sudah hilang. Memang sudah dijangkakan sebegitu rupa, saya terlebih awal mengeluarkan wang dari beg tersebut. Kemudian, saya terus pulang ke hotel untuk berehat dan membiarkan beg itu bersemadi di situ. Selepas melelapkan mata selama dua jam, pada tepat pukul 2.30 petang, saya berangkat ke Mina semula untuk melontar tiga jamrah (jamrah Ula, jamarah Wusta dan jamrah Aqabah). Sekali lagi saya pergi ke Mina dengan berjalan kaki sejauh 6km. Alhamdulillah saya sampai di Mina dan melontar tiga jamrah sebelum terbenam matahari. Apa yang akan terjadi jika kita sampai setelah matahari terbenam? Alamatnya kena dam, kerana tidak dikira sebagai bermalam di Mina. Bermalam lah saya di Mina pada hari tasyrik..zzzzz (walaupun tidur sekadar dikaki lima sahaja, tapi Allah memberikan keselesaan seolah-olah tidur di dalam istana, syukur pada Allah yang memberikan nikmat kepada hambaNya)
12 Zulhijjah 1430
Hari ini sama juga seperti hari semalam, melontar tiga jamrah dan bermalam di Mina. Pada siangnya, saya pergi melawati jemaah Malaysia di Muasim (kira-kira 3km dan mengambil masa 1jam perjalanan dengan berjalan kaki). Ramai jemaah Malaysia bersiap sedia untuk meninggalkan Mina (dikenali sebagai Nafar Awal dengan sebab ada urusan lain di Makkah. Kepada siapa yang ingin melakukan Nafar Awal, perlu meninggalkan Mina sebelum terbenamnya matahari, kalau tidak dia diwajibkan bermalam di Mina juga). Kepada siapa yang tidak ada urusan di Makkah, bermalam di Mina lebih afdal. Pada hari-hari Mina, perbanyakkanlah bacaan Quran dan zikir kepada Allah SWT.
13 Zulhijjah 1430
Hari ini merupakan hari terakhir saya berada di Mina. Saya menunggu sehingga selepas solat Zohor, baru lah saya melontar tiga jamrah (waktu melontar jamrah pada hari tasyrik ialah setelah tergelincir matahari). Setelah melontar, barulah pulang ke Makkah dengan berjalan kaki juga. Ketika dalam perjalan, singgah di kedai makan, pekena Kabsah dulu dengan ayam Masywi, makan dalam talam plak tu (hehe, kepada sahabat2, saya dah jemu makan Kabsah dan Shawarma sebab hari2 dok makan benda tu ja).
Jadi, inilah perjalanan atau kronologi ketika melaksanakan manasik haji. Saya menulis diari ini khas untuk memberikan bayangan ringkas kepada sahabat2 sekalian. Insyaallah, antum sekalian akan mendapat jemputan dari Allah pada usia yang muda ini. Dan kepada pembaca artikel ini, jika terdapat sebarang kesilapan berkaitan dengan hukum-hakam manasik haji, harap dibetulkan. Wallahua’lam.
Sisa-sisa hari di tanah haram.
Masih berbaki tiga hari sahaja lagi di Makkah. Pada masa yang ada, saya melazimi solat fardhu di Masjidil Haram secara berjemaah. Gemersik suara imam al Juwaini tidak dapat dilupakan, masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Selepas itu, saya pergi ke rumah haji Ahmad (rakyat Malaysia yang menetap di Makkah sejak usianya 19 tahun) yang terletak berdekatan dengan tanah perkuburan Ma’la (tanah perkuburan untuk para jemaah haji yang meninggal dunia ketika menunaikan haji). Dapat juga makan daging korban, bukan senang nak cari rendang kibas kat Makkah ni, punyala sedap tak terkata sheh.
Sempat juga saya melawati Amirul Haj Thailand, Dr Ismail Lutfi. Niat di hati hendak menziarahi Dr Zul di Janadriah, tetapi masa tidak mengizinkan kerana ingin berangkat ke Madinah Al Munawarah. Sebelum meninggalkan Baitullah, perlulah Tawaf Wada’.
Menziarahi Rasulallah SAW
Alhamdulilah, Walaupun hanya dua hari berada di Madinah, sudah cukup untuk mengubat rindu kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Meskipun menghadapi perjalanan yang amat sukar sekali ketika hendak ke Madinah, check point demi check point, mengambil masa kira-kira 12 jam untuk menyelesaikan segala dokumen (musim haji memang begini kerana setiap jemaah haji yang memegang visa haji, semuanya berada di bawah kawalan Kementerian Haji Arab Saudi termasuk Tabung Haji).
Perkara pertama sekali, saya memasuki masjid Nabawi dan solat sunat Tahiyatul masjid di dalamnya. Kemudian, saya bergegas ke Raudhah (tapak masjid Nabawi yang asal). Dapat juga saya solat fardhu zohor secara berjemaah di situ. Pada masa itu, terasa seolah-oleh Rasullallah SAW dan para sahabat menunaikan solat bersama kita.
Sebelah kiri Raudhah yang berada di belakang sedikit, itu lah rumah Saidina Ali RA dan di situlah baginda Rasullallah SAW bermain dengan cucu baginda Saidina Hassan dan Hussein. Setelah selesai solat Zohor, dengan perlahan-lahan yang pergi ke sebelah kiri di hadapan masjid, di situlah rumah baginda Rasullallah SAW dan di situ juga terletaknya makam Rasulallah SAW, rasul yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam keseluruh pelusuk dunia, seorang Kekasih Allah SWT dan di situlah bersemadinya sebaik-baik manusia. Maka, lafazlah Assalmualika Ya Rasullah. Kemudian, di sebelah baginda, bersemadinya Saidina Abu Bakar As Siddiq RA, seorang sahabat baginda yang paling akrab, seorang teman kepada Rasulallah SAW ketika bersembunyi di Gua Thur. Maka, berilah salam kepada beliau. Kemudian, di sebelah makam Saidina Abu Bakar RA, terletaknya makam Saidina Umar Al-Khatab RA. Saidina Umar merupakan seorang sahabat yang sangat tegas pada zaman pemerintahannya dan disebabkan itu, Islam berkembang luas hampir keseluruhan dunia termasuk membebaskan tempat suci umat Islam ketiga iaitu Masjid Aqsa.
Akhir Kata
Konklusinya, saya harapkan saya akan dijemput oleh Allah SWT pada lain kali, begitu juga kepada sahabat2, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya memberi peluang dan ruang untuk menjadi tetamu Alah SWT. Mungkin perjalanan saya agak berbeza dengan para jemaah haji Malaysia yang lain, kepada siapa yang pergi melalui Tabung Haji atau pakej yang bernaung di bawah Tabung Haji, mungkin tidak serumit seperti ini. Jika melalui Tabung Haji, segala kemudahan makanan, pengangkutan, tempat tinggal (khemah atau maktab) disediakan. Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada ayah saya Hj Rosdi b. Hj Shariff kerana memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan manasik haji meskipun berada dalam serba kekurangan. Saya kira inilah hadiah yang paling istimewa yang pernah saya dapat sempena menyambut ulang tahun saya yang ke 20.
p/s: catatan diatas merupakan coretan ringkas dari Haji Zaki.
Ahmad Norfazareez Bin Mohd Fauzi Al Faqir Ila Rabbil Alamin. Mempunyai nama yang agak unik di alam sarwajagat ini. Mohon diberi petunjuk dalam mencari ilmu Allah yang maha luas ini.