Thursday, February 19, 2009

Sekolah vs. Universiti

Sambil aku menghirup kesegaran air cond di perpustakaan, maka timbullah satu topik yang sering bermain-main di benakku untuk diperbualkan antara aku dan sahabat karibku, Amir Sufi. Memang kami selalu berkongsi cerita suka dan duka walaupun kami bagai angsa dan itik. Seorang dari Kelantan, seorang lagi dari Kedah. Perbezaan loghat yang cukup ketara, tapi ia bukanlah penghalang bagi kami untuk membina ukhuwwah fillah. Terkenang kali pertama aku bertemu beliau, sehari suntuk aku menjadi bingung, apa tidaknya, masing-masing tidak faham apa yang diperbualkan gara-gara loghat yang pekat. Kadang-kadang aku sedar bahawa komunikasi cukup penting dalam setiap perkara hatta 'komunikasi' kita dengan Allah Taala tatkala menghamba diri padaNya, adakah kita cukup memahami dan mengerti apa yang kita tuturkan?

Mengimbau kembali zaman persekolahan ataupun ketika bergelar pelajar sekolah suatu ketika dahulu merupakan suatu kenangan terindah dalam hidup. Apatah lagi jikalau berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah agama. Berbagai ragam dapat dilihat. Ada yang macam malaikat, tak kurang pula macam jin ifrit. Bagi aku Alhamdulillah, aku berpeluang melangkah masuk ke bumi barakah Maktab Mahmud, Alor Star. Di situlah aku menimba ilmu duniawi dan ukhrawi, belajar mengenal apa itu Islam, dibajai pula dengan Tarbiyyah dan biah solehah. Tapi sejujurnya aku mengaku tak kurang juga kadang-kadang tergelincir dek gara-gara terlau mengikut nafsu dan rakan-rakan. Benarlah kata Baginda SAW, jikalau nak melihat perangai seseorang itu, lihatlah pada rakannya. Disulami kenangan indah dan pahit selama hampir 5 tahun setengah, itulah yang membuatkan aku tidak putus-putus untuk menziarahi Maahad Mahmud setiap kali aku berkelapangan kerana wujudnya keterikatan hati antara maahad dan diriku. Adik-adik di maahad merupakan legasi yang perlu dibimbing sepertimana kami dibimbing oleh abang-abang terdahulu. Ia adalah amanah di atas pundakku.
Jika nak diceritakan kembali kenangan pahit jerih kehidupan alam persekolahan nescaya tidak cukup untuk diceritakan. Ayuh kita kembali kepada topik asal yang berbunyi sekolah vs U. Rata-rata sahabat-sahabatku dan diriku sendiri mengakui bahawa kehidupan di alam universiti cukup berbeza dengan alam persekolahan. Pertama, sudah semestinya perbezaan dari sudut cara pembelajaran. Di universiti kita diajar untuk lebih banyak berfikir dan mengeluarkan pendapat sendiri berbanding menerima bulat-bulat ketika di sekolah. Tapi tidak dinafikan juga hatta di universiti kita masih lagi disuap oleh pensyarah. Seoarang mahasiswa perlulah independence, berfikiran matang, think out the box, ada soft skill... dll. Itulah ayat yang acap kali didengari.




Kita letakkan persoalan pelajaran di tepi dahulu. Apa yang ingin ditimbulkan di sini adalah keadaan diri kita di universiti dan ketika di sekolah dahulu. Adakah ia berbeza mengikut tempat? Jikalau dahulu kita berlebai bersongkok 24 jam bagi yang lelakinya. Ditambah pula serban berkilo-kilo dijunjungnya selama 5 tahun ketika di alam persekolahan. Kalau keluar pekan tak pakai lebai tak siqhoh namanya. Baju mesti lengan panjang. Tak kurang juga lagak sang puteri yang tudungnya boleh 'menyapu' jalan raya. Jalan tunduk rapat ke tanah. Cukup sopan santun. Jauh sekali kalau nak bersembang dengan lelaki. Apabila masuk sahaja u, bagaikan Cinderella kehilangan kuasa hikmatnya. Segalanya bertukar sekelip mata. Kepala yang dahulunya dililiti serban sudah pandai menggayakan rambut, lebai songkok disimpan terus dalam kotak. Tudung yang dahulunya labuh hingga mencecah lantai sudah dibahagi dua. Save budget katanya. Mana perginya semua itu dahulu, adakah ia hanya hipokrit semata-mata?


Persolan yang ditmbulkan di atas adalah berdasarkan pengalaman peribadiku sendiri hasil amatanku selama ini. Walaupun kadang-kadang terasa janggal untuk aku membincangkan topik ini melihatkan kedaan diriku yang tak seberapa. Tetapi anggaplah ini peringatan buat diriku dan para pembaca semuanya. Aku pernah menyuarakan persolan ini kepada beberapa orang rakan dan abang-abang samada lepasan maahad atupun tidak. Bagi soalan lebai songkok dan sebagainya, rata-rata menjawab di sekolah merupakan berlakunya permulaan proses tarbiyyah. Di situ perlu ada ketegasan dalam melaksanakan sesuatu biarpun ia sedikit syadid. Biarlah hipokrit pada awalnya demi untuk mendidik hati dan jiwa agar ia berkekalan selepasnya. Perkara ini boleh dilihat ketikamana Islam menyuruh anak yang berumur 10 tahun dirotan untuk mengajar jikalau dia tidak solat. Apabila ia sudah baligh, itu terpulang padanya hasil dari ajaran dan rotan mungkin sudah tidak berkesan di saat itu.
Berbalik pada topik tadi, apabila kita sudah melangakah masuk ke universiti, terpulanglah kepada kita untuk tampil sebagaimana dengan melihat kembali hasil tarbiyyah dahulu, tetapi perlu diingat, jangan sampai melanggar hukum syarak seperti memakai seluar pendek, diwarnakan rambut dan bagi perempuan pula tudung yang terlalu singkat, baju yang ketat dan jarang dan sebagainya. Persoalan tidak memakai lebai tidaklah melanggar hukum syarak tetapi alangkah ruginya sesiapa yang pernah memakainya suatu ketika dahulu tetapi membuangnya ibarat membuang barang yang baik. Sebenarnya penampilan yang cuba ditonjolkan ketika di sekolah mampu mengekang kita dari melakukan maksiat yang terang-terangan dan perkara lagho. Adakah Pak Lebai nak jeling perempuan lama-lama? Adakah ustazah bertudung labuh nak ketawa terbahak-bahak? Renung-renung dan fikir-fikirkan.


Secara peribadi, aku bersetuju dengan pendapat di atas. Cuma persoalannya, adakah selama ini kita hanya hipokrit semata-mata? Atau kerana takutkan undang-undang? Atau kita mengikut keadaan suasana sesuatu tempat? Kata seorang sahabatku, jadilah diri kita sendiri. Ermm.. mana satu yang betul ni? Masing-masing punya pendapat tersendiri. Bagi aku jadilah diri kita sendiri bertunjangkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Apa-apa pun aku tinggalkan persoalan ini untuk kita bincang dan renung bersama.

0 comments:

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP