Monday, November 23, 2009

Aqidah+Tarbiah+Ciri Islam=Dakwah

الحمدلله نستعينه ونستغفروه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئآتي أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله

قال الله تعالى في سورة النحل آية 125
ادع الى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إنّ ربك هو اعلمو بمن ضل عن سبيله وهو اعلم بالمهتدين


Mafhumnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik. Sesungguhnya Allah, Dialah yang lebih mengetahui siapayang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Saat saya cuba mengamati maksud ayat ini yang Allah cuba meberitahu kepada manusia, timbul satu persoalan mengapakah Allah menggunakan perkataan HIKMAH dalam ayat tersebut. Tidak pula Allah menggunakan KHAIRIAH iaitu serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara yang baik, ataupun SYADIDAH dengan cara yang keras.

Inilah kelebihan Al-Quran sari sudut bahasa. Dan Bahasa Arab sendiri mempunyai keunikannya yang tersendiri. Kadangkala banyak perkataan Bahasa Arab hanya mempunya 1 terjemahan dalam Bahasa Malaysia, tetapi hakikatnya setiap perkataan tersebut mempunyai maksud yang berlainan mengikut, tempat, keadaan, masa dan sebagainya.

Selama hampir 3 hari saya 'bermain' dengan ayat tersebut. Sedikit terungkai beberapa persoalan. Ya, HIKMAH kalau diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud BIJKASANA. Bermakna serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana. Dakwah memerlukan ilmu, kepakaran, memahami situasi dan keadaan. Itulah yang dikatakan bijaksana. Dakwah kepada orang muda berlainan caranya dengan dakwah kepada golongan yang lebih berumur.

Oleh itu saya cuba gabungkan 3 elemen penting untuk menghasilkan dakwah yang berkesan dan mantap. Aqidah yang kuat dan sejahtera, Tarbiah yang kukuh, dan pemahaman ciri-ciri dan sifat-sifat Islam. 3 elemen ini perlu ada dalam setiap diri dan jiwa pendakwah jika mereka inginkan suatu kesan dakwah yang mendalam.


AQIDAH YANG SEJAHTERA

Persoalan Aqidah merupakan persoalan pokok dalam kehidupan setiap muslim. Jika rosak aqidah seorang mulim, maka hancurlah keseluruhan amalnya bagai debu-debu yang bertaburan. Aqidah berasal dari perkataan 'aqada' yang membawa maksud satu ikatan yang kukuh dan kuat yang mustahil untuk dirungkaikan.

Persoalan aqidah yang akan membawa halatuju seoarng dai'e supaya mengajak orang menyembah Allah yang satu. Jika aqidah seorang dai'e itu sendiri rapuh, bagaimanakah ia mahu mengajak orang menyembah Allah yang satu, sedangkan dia sendiri masih ragu dengan kewujudan Allah.

Di samping itu, aqidah adalah satu tali yang mengikat manusia dengan penciptanya. Mana mungkin seoarang dai'e boleh berjaya dalam karier dakwahnya sekiranya tidak mendapat bimbingan dari Allah.


TARBIAH YANG KUKUH

Tarbiah berasal dari perkataan 'rabba' yang bermaksud didik. Didikan dan pengajaran yang betul memberi kesan kepada setiap dai'e dalam menjulang kalimah tiada Tuhan selain Allah.

Tarbiah merupakan satu cabang ilmu yang luas perbincangannya. Tarbiah adakalanya senang dan mudah untuk dilaluinya, dan adakalanya payah dan penuh cubaan. Begitu jugalah tarbiah Allah kepada dai'e, kadangakala Allah memberi kesenangan kepada mereka untuk menguji adakah mereka bersyukur dengan nikmat kesenangan, dan kadangkala Allah memberi kesusahan dan kepayahanuntuk melihat adakah mereka mampu bersabar di atas ujian yang diberikan. Sekiranya tarbiah yang tidak kukuh berada dalam diri seorang dai'e nescaya ia akan rebah tersungkur.

Seperti yang saya katakan tadi bahawa tarbiah adalah satu aspek yang cukup luas, ia menuntut kita menggarapnya mengikut kefahaman dan kedaaan semasa. Satu analogi yang cukup mudah, secara umumnya silibus pelajaran Tahun 1 bersesuaian dengan tahap pemikiran seoarang budak berumur 7 tahun. Mana mungkin seoarang murid Tahun 1 mampu mengikuti pelajaran yang menggunakan silibus di peringkat Doktor Falsafah. Seorang tentera, mereka berlari, merangkak, berkawad dan sebagainya. Mana mungkin seoarang penari ballet perlu diberi ajaran sama seperti seoarang tentera.

Justeru itu, itulah Hikmah yang disebut di awal tadi, Mungkin tarbiah secara kekerasan sesuai terhadap satu golongan dan tidak sesuai pula dengan golongan yang lain. Mungkin tarbiah ke arah lebih agresif sesuai dengan keaadan dan waqi' setempat, tidak pula sesuai diadaptasikan di sestengah tempat yang memerlukan mereka bergerak secara berhati-hati dan berjaga-jaga.


CIRI-CIRI ISLAM

Islam mempunyai 6 ciri utama iaitu Rabbaniah (hubungan dengan Allah), Syumuliah (ajaran islam lengkap dan menyeluruh), Waqi'iyyah (mengikut suasana dan tempat), A'lamiyyah (sejagat), Thabat wa Murunah (tetap pada hukum yang qat'i dan fleksibel perlaksanaanya), dan Inqilabiyyah (menegakkan Islam atas keruntuhan jahiliyyah).

Kenam-enam ciri Islam perlulah dihadam dengan baik oleh setiap dai'e sebelum mereka mengimpikan suatu kesan dakwah yang berkesan. Saya tertarik untuk membahaskan ciri Waqi'iyyah dan Thabat wa Murunah. Kita melihat bahawa setaip tempat mempunyai keadaan dan kondisi yang berbeza. Justeru, ia menuntut kepada seiap dai'e memahami keadaan tersebut. Orang cina makan menggunakan chopstik. Usahlah dipaksa orang melayu makan menggunakan chopstik, tambah pula kalau laksa yang dimakannya. Begitulah perumpamaannya.

Oleh itu, datangnya Islam untuk memudahkan bukan merumitkan. Islam itu fleksibel. yang hak dan benar tetap dikatajan benar, yang bathil dan slah tetap dikatakan salah. Yang bezanya cuma cara pembawakannya sahaja. ia sesuai untuk setiap keadaan dan zaman. Bahkan, kitalah yang sering menyempitkan konsep Islam. Islam hanya ada di masjid dan surau. Politik bukannya di masjid. Syeikh, Islam ini ada di mana-mana. mula bangun tidur samapilah tidur balik, mula hidup sampailah dibangkitkan semula selepas mati.

Saya cuba membawa realiti semasa di kampus. Memang diakui bahawa sesetengah kampus terpaksa menggunakan pendekatan yang agresif dan 'ganas' demi mencapai dakwah yang berkesan. Tidak pula si sesetengah kampus yang keadaannya aman damai dan tenang tanpa provokasi dari mana-mana pihak. Kedua-duanya tidak salah. Waqi'iyyah dan Thabat wa Murunah menentukan segalanya. Jika ramai orang menerima ajakan Islam dengan cara yang pertama tanpa mudhorat kepada mana-mana pihak itulah yang dikatakan Hikmah. Jika cara yang kedua lebih berkesan mengikut keadaan kampus, maka itu juga adalah hikmah.

Rata-rata orang menilai gerakan dakwah di kampus dengan menilai tahap 'kelesuan' dakwah yang berjalan. Cuma, persoalan yang ingin saya utarakan adalah, apakah 'kayu ukur' yang digunakan untuk menilai tahap 'kelesuan' tersebut. Adakah lesu itu dinisbahkan kepada gerakan secara aman dan berhati-hati dantidak lesu itu gerakan secara agresif dan bersifat menentang? Fikirkan bersama.


KONKLUSI

Sebelum saya meletakkan noktah untuk post kali ini, saya cuba bawa para pembaca sekalian menyoroti sirah perjuangan Nabi SAW yang mana Nabi menerapkan 3 elemen ini dalam gerakan dakwah baginda.

Di awal dakwah Nabi, Aqidah adalah yang paling utama diterapkan. Buktinya, 13 tahun dakwah nabi di Makkah adalah berkisar soal aqidah dan akhlak. Hal ini boleh dilihat kepada persetujuan jumhur ulama' mengatakan bahawa di dalam ayat makiyyah (ayat yang diturunkan kepada Nabi ketika di Makkah) berbicara soal iman dan akhlak.

Kemudian, tarbiah yang diterapkan oleh Nabi kepada para sahabat adalah tarbiah yang kukuh dan mantap. Tarbiah Umar Al-Khattab tidak sama berbanding tarbiah Abu bakar As-Siddiq. Nabi mengenali potensi setiap para sahabat. Siapakah yang patut berada di barisan hadapan, siapa pula yang patut berada di belakang. Itulah cantiknya strategi Rasulullah.

Ciri-ciri Islam turut ditonjolkan bersesuaian dengan kedaaan dan pemahaman masyarakat. Bagaimana kita melihat Nabi perlu berdakwah secara Sir pada 3 tahun permualaan dakwah Nabi yang hanya dianggotai ahli keluarga terdekat dan orang tertentu sahaja. Perjumpaan dilakukan di rumah Arqam bin Abi Al-Arqam nun jauh di pinngir Kota Makkah.

Kemudian, dizahirkan ajaran Islam selepas 3 tahun berdakwah secara rahsia. Maka dikumpulkan penduduk Makkah pada ketika itu di Bukit Saffa bagi memberitahu ajaran Allah yang sebenar. Hal ini menunjukkan bahawa di awal 3 tahun pertama, Nabi mula mengumpulkan kekuatan dan tenaga, lalu setelah kuat Allah menyuruh untuk berdakwah secara terang-terangan memandangkan keadaan pada ketika itu sudah bersesuaian.

Demikianlah dakwah Rasulullah dalam menerapkan 3 elemen tersebut. Oleh itu, saya cipta 1 formula dakwah yang berkesan AQIDAH+TARBIAH+CIRI ISLAM=DAKWAH. Yang tinggal sekarang, bagaimanakah seorang dai'e cuba untuk mengaplikasinya. Sudah TAHU, yang tinggal cuma cetuskan rasa MAHU. Hayatilah konsep Hikmah, bukan untuk menyekat tapi untuk selamat.

Sekian sahaja buat kali ini, sedikit coretan dari Insan Biasa yang dhoif, moga Allah memeberi kekuatan untuk saya mengaplikasikan perkara di atas.

1 comments:

Anonymous said...

syukran akh

Modified by Blogger Tutorial

::Insan Biasa:: ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP